Kos pesawah naik RM8,000 selepas penyasaran subsidi diesel

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan kos membajak dan pengangkutan yang ditanggung pesawah akibat penyasaran subsidi diesel harus diberi perhatian oleh kerajaan.

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, jika perkara itu tidak ditangani ia dibimbangi akan menyebabkan kemungkinan akan meningkatkan harga beras.

- Advertisement -

“Kita juga turun ke bawah, check, kita tengok masalah membajak, sebagai contoh, naik. Sehingga jumlah untuk mereka menambah harga diesel tersebut sudah naik sehingga RM8,000 daripada jumlah asal.

“Maka sebab itu saya ingin tanyakan, kalau begini caranya maka RM200 sebulan yang kita beri hanya RM2,400 (setahun). Jumlah yang sebenarnya naik sehingga RM8,000. Tak cukup RM6,000,” katanya.

Beliau meminta agar menteri menjelaskan kaedah yang akan digunakan kerajaan untuk mengekalkan ‘value chain’ agar harga beras tidak naik terlalu tinggi akibat dari situasi itu.

Hamzah turut berharap agar rancangan kerajaan untuk mengembangkan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sehingga 33 kategori turut melibatkan jentera yang terlibat dengan penanaman padi.

“Bilamana kerajaan telah mengumumkan tentang dasar yang baru, kerajaan juga memberi jaminan supaya harga-harga barangan tidak akan naik.

“Saya ingin memaklumkan pada Yang Berhormat, sebenarnya selepas sahaja pengumuman (penyasaran subsidi) dibuat, barangan terutamanya makanan, ‘essential goods’ di pasar-pasar, banyak daripada barang-barang tersebut harganya naik seperti ikan, cili, banyak lagi,” katanya yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan kesan penyasaran subsidi diesel.

Sementara itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapannya berkata, pihaknya tidak mengambil sikap ‘denial’ dalam isu kenaikan harga barang akibat penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan.

“Memang unjuran sebelum pelaksanaan subsidi diesel ini pun, unjuran inflasi pada tahun ini bersandarkan kepada IHP memang diunjurkan ada sedikit kenaikan, tetapi masih dalam keadaan stabilkan antara 2.0 hingga 3.5 peratus.

“Namun apa pun dari segi rantaian pengedaran itu kita akan pantau dan sekiranya terdapat sebarang kenaikan kita akan panggil untuk mendapatkan justifikasi apakah punca kepada kenaikan tersebut,” katanya.

Tambahnya, pihak KPDN sedang mempertimbangkan kenderaan mengangkut hasil pertanian dan jentera petani dalam kes-kes khas untuk dimasukkan dalam Skim Budi Madani berdasarkan bangkitan-bangkitan yang dibuat ahli-ahli Parlimen.

“Insya-Allah kita telah mengemukakan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya mereka membuat ‘engagement’ dengan ‘stakeholders’ masing-masing. Begitu juga Kementerian Pertanian,” katanya.

Hamzah dalam soalan asa meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan mekanisme pelaksanaan dasar penyasaran minyak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan orang ramai, peniaga kecil dan penjaja menikmati subsidi bersasar.

Beliau juga ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penyasaran minyak tidak memberi kesan kepada rantaian ekonomi keseluruhannya yang boleh mendorong melonjakkan lagi harga barang dengan kesannya rakyat terbanyak terutama golongan M40 dan B40. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -