Khidmat guaman kepada mangsa keldai akaun

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyediakan khidmat guaman kepada individu-individu yang menjadi mangsa keldai akaun merupakan cadangan yang boleh diambil oleh kerajaan agar mangsa tersebut tidak teraniaya.

- Advertisement -

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, ini berikutan garis pemisah untuk membezakan individu yang menjadi mangsa penipuan sindiket dan individu yang berkomplot menjadi keldai akaun kepada sindiket ini adalah sangat nipis dan sukar untuk dibezakan.

“Cadangan ini saya dapat daripada satu grup Facebook iaitu grup sokongan mangsa keldai akaun ataupun mule akaun yang mana ditubuhkan oleh beberapa peguam yang memberikan khidmat kepada golongan yang menjadi mangsa keldai akaun ini.

“Ahli grup Facebook ini hampir 6,000 orang, boleh tahan meriah persoalan dan situasi yang mereka luahkan dalam grup tersebut walaupun bukan semuanya mangsa.

“Inisiatif yang diambil peguam-peguam ini wajar diambil teladan oleh kerajaan agar tiada mangsa teraniaya kerana ditipu sindiket penipuan,” ujar beliau.

Fawwaz mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, kerajaan dicadangkan untuk menyediakan satu platform kepada pelaku penipu yang insaf ini khususnya dalam menghubungkan dengan mangsa bagi memohon maaf dan menggantikan semula wang-wang mangsa tersebut.

Katanya, dalam usaha kerajaan membendung aktiviti penipuan dan golongan yang terlibat dengan akaun keldai ini, dipercayai ada di kalangannya yang masih bernasib baik dan tidak tertangkap.

“Barangkali ada di kalangan mereka yang sedar dan ingin bertaubat atas perbuatan yang dilakukan oleh mereka.

“Namun, mereka hanya hanya sekadar berhenti daripada perbuatan tersebut ada pun wang dan hasil daripada perbuatan penipuan itu tidak dikembalikan kepada mangsa.

“Kerajaan boleh bekerjasama dengan Majlis Agama Islam bagi yang beragama Islam ataupun mana-mana agensi yang lain dalam mengendalikan golongan ini dan pada masa yang sama boleh memberikan khidmat nasihat dan juga sokongan moral,” katanya.

Bahaya penyakit materialistik

Menurutnya juga, seawal di peringkat pendidikan rendah dan menengah, kerajaan dicadangkan memberikan lebih penekanan terhadap bahaya penyakit materialistik ini yang menjadi antara punca menjadi keldai akaun.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dengan keldai akaun adalah satu kesan materialistik yang tebal.

“Selain daripada itu, gejala seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penipuan dalam perniagaan, menggadaikan harga diri dengan menyediakan perkhidmatan sundal, menjadi pempengaruh dengan membawa pengisian negatif dan berbaur lucah dan juga pelbagai penyakit sosial yang lain.

“Ini semua adalah kesan daripada wabak materialistik sehingga mengabaikan dosa, pahala dan juga undang-undang dalam mendapatkan harta dunia,” ujar beliau.

Menurutnya, sifat materialistik inilah antara faktor semakin ramai individu mengambil jalan pintas mengejar kekayaan.

 “Kini tidak sedikit anak remaja kita yang meletakkan pempengaruh, gamers (pemain video mainan), founder (pengasas) kosmetik dan juga yang lain-lain sebagai kerjaya idaman mereka.

“Betul ia jalan pintas yang legal (sah) di sisi undang-undang. Namun harus diketahui bahawa ia merupakan ukuran untuk mengetahui bagaimana mereka memahami tujuan hidup mereka,” kata beliau. –  HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -