Kenyataan Presiden Umno ‘syok sendiri’

Mohamed Sukri (kiri) dan Zahid.
- Advertisement -

SHAH ALAM: “Provokasi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghina Presiden PAS dengan pendirian (kononnya) tidak mahu bekerjasama dengan PAS selagi PAS masih diterajui Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanyalah sebuah kenyataan yang bersifat’ ‘syok sendiri’.”

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penghinaan Zahid itu sebenarnya langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada Presiden PAS, bahkan membuatkan Zahid sendiri semakin tidak diyakini oleh ahli-ahli Umno.

- Advertisement -

“Malahan, ucapan beliau di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar 2024 tersebut hambar apabila seolah-olah terpaksa meminta hadirin memberikan tepukan apabila kenyataan provokasinya itu tidak disambut tepukan hadirin.

“Presiden Umno kini seolah-olah ibarat biawak hidup kepada Umno yang mana hanya bijak menggunakan kesempatan yang ada untuk terus berada di tampuk kuasa. Tidak pernah ada lagi Presiden Umno yang sanggup menggadai maruah dan prinsip parti demi mahu berkuasa.

“Hanya Zahid Hamidi dan kelompoknya sahaja yang mendakwa Umno menyokong DAP sedangkan ahli Umno akar umbi tetap dengan prinsip ‘No Anwar Ibrahim, No DAP’,” katanya.

Tambah beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam, beberapa siri pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah yang terbaharu, Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap menunjukkan pola undi orang Melayu konsisten dan semakin memihak kepada Perikatan Nasional.

Bahkan, menurutnya, sikap Zahid yang terus membisu terhadap nasib orang Melayu sejak bersama DAP membuatkan orang Melayu semakin marah dan kesal.

“Bukan itu sahaja, ahli-ahli Umno juga sudah muak dengan ketidakjujuran Presiden mereka. Penyokong Dato’ Seri Najib Razak pasti kecewa dengan sikap acuh tidak acuh beliau terhadap Titah Adendum Yang Di-Pertuan Agong bagi pengampunan bekas Perdana Menteri tersebut yang membenarkan Dato’ Seri Najib menjalani hukuman penjara tahanan di rumah sahaja.

“Pelik, mengapa terlalu lama untuk membuat pendedahan dengan menfailkan afidavit menyokong  semakan kehakiman sedangkan Zahid sedar kewujudan Titah Adendum tersebut sejak akhir Januari 2024,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan Presiden Umno terhadap Presiden PAS tersebut dan berpendirian sentimen sebegini ini tidak memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat dan hanya memecahbelahkan lagi perpaduan masyarakat terutama orang Melayu.

“Umno akan semakin tenat jika terus membiarkan Zahid Hamidi memimpin Umno,” katanya. – – HARAKAHDAILY 10/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!