Jangan angkuh, tak selamanya Zahid kekal memimpin

- Advertisement -

KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengingatkan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak angkuh dan sombong kerana kedudukan sebagai pemimpin tidak akan kekal selamanya.

- Advertisement -

Katanya, PAS tidak pernah mengisytiharkan Umno sebagai musuh, bahkan pintu sentiasa terbuka untuk kedua-dua parti bekerjasama, meskipun Ahmad Zahid secara tegas menolak PAS selagi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memimpin parti.

“Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai sentimen peribadinya terhadap Abdul Hadi walaupun akar umbi Umno sebenarnya masih mahu melihat kedua-dua parti ini bersatu dalam penyatuan ummah,” katanya.

Tuan Guru Hashim menekankan bahawa Ahmad Zahid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliau akan terus kekal memimpin Umno selamanya.

“PAS dari dahulu tidak pernah mengisytiharkan Umno sebagai musuh dan pintu kerjasama sentiasa terbuka. Kita tidak akan mengambil pendekatan angkuh seperti Ahmad Zahid itu dan dia pun tidak lama lagi akan digantikan oleh pemimpin lain,” tambahnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Ahmad Zahid secara lantang menolak kerjasama Umno dengan PAS selagi Abdul Hadi menjadi Presiden PAS, ketika berucap di Kuala Kangsar, kelmarin.

Ahmad Zahid mendakwa, kerjasama tidak akan berlaku kerana sikap pimpinan tertinggi PAS yang kerap berbohong, dan beliau adalah saksi hidup kepada pembohongan dilakukan oleh Abdul Hadi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pernah menyifatkan PAS sebagai ‘gila talak’ apabila parti itu tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan Umno.

Hashim menasihatkan Ahmad Zahid agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang bersifat peribadi kerana akar umbi Umno masih mahu melihat kedua-dua parti bersatu meskipun pucuk pimpinan mereka terus berkeras.

“Akar umbi Umno kalau dilihat masih mahu melihat kedua-dua parti ini bersama meskipun pucuk pimpinan mereka terus berkeras. Sekarang boleh lihat bagaimana orang Melayu sudah semakin menjauh dengan Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -