Hari hitam parlimen Malaysia 

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri disifatkan sebagai hari hitam bagi parlimen Malaysia.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan Speaker Dewan Rakyat itu seolah-olah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Adakah roh Perlembagaan Persekutuan tercemar? 

“Di manakah kekuatan dan kemuliaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di pelihara?

“Adakah keputusan Speaker Dewan Rakyat telah membelakangi peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat itu hendaklah menjadi kosong jika beliau  tidak lagi menjadi anggota parti politik setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pada 20 Jun lepas, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Enam Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian parti pada 12 Jun lepas apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulisMPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -