Gerakan jangan jadi juara pertahankan pemain judi

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak perlu menjadi juara mempertahankan sesetengah kelompok yang gemar bermain judi.”

Itu penegasan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan bahawa tidak semua orang yang bukan beragama Islam benar-benar menyukai aktiviti judi ini.

- Advertisement -

“Lagipun, anda (Gerakan) tidak akan mendapat tambahan undi pun dengan bersikap seperti ini dengan mempertahankan mereka yang suka bermain judi,” katanya.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam membenarkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri yang membuat penutupan terhadap semua kedai judi harus dihormati oleh setiap pihak.

Namun begitu, kata beliau, PAS tetap mempertahankan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.

“Saya tidak menafikan yang kita semua perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam isu sebegini.

“Namun begitu, kita juga harap kerajaan negeri Kedah akan mencari ruang dan peluang dalam konteks undang-undang yang ada bagi memastikan premis-premis judi dan loteri akan terus kekal ditutup,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Menurut laporan Berita Harian 9 Julai 2024 yang lalu, kerajaan negeri difahamkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu.

Sehubungan itu, Fadhli menyatakan premis-premis judi harus kekal ditutup sepenuhnya dalam negeri Kedah kerana telah membawa pengaruh yang amat buruk terhadap masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Kata beliau lagi, tiada satu agama pun yang ‘menghalalkan’ amalan judi yang mana tindakan kerajaan negeri Kedah dalam menutup semua kedai judi adalah tepat.

“Jadi, sekali lagi saya ingin nak ingatkan Gerakan iaitu jangan lagi mempertahankan sesetengah kelompok yang sukakan judi semata-mata untuk meraih undi kerana perkara tersebut adalah tidak wajar.

“Kita juga mengharapkan supaya setiap kedai judi akan terus ditutup oleh kerajaan negeri Kedah dalam apa jua keadaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -