Gejala sosial golongan remaja makin meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Khidmat kaunselor profesional perlu bagi menangani gejala sosial dalam kalangan remaja yang semakin meningkat pada waktu ini.

Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, ia dalam masa yang sama juga dapat menggalakkan pendaftaran lebih ramai kaunselor berdaftar.

- Advertisement -

“Apakah usaha kerajaan untuk memperluas khidmat kaunselor profesional dalam menangani masalah sosial termasuk tawaran khusus kursus dan latihan kepada lebih ramai kaunselor dan pengamal kaunseling bertauliah.

“Bagi menampung jumlah kekurangan kaunselor profesional berdaftar, sekali gus membantu menangani pelbagai isu sosial sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan dalam sesi ‘Pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKDM) menyatakan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meningkat di dalam negara terutamanya dalam kalangan remaja.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat turut meminta menteri menyatakan sama ada terdapat penekanan khusus untuk membendung gejala sosial seperti jenayah siber untuk masyarakat Islam.

“Misalnya usaha advokasi berbentuk pencegahan dan pemulihan secara lebih bersepadu dalam membendung gejala sosial menerusi pelan tindakan sosial Islam,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri KPWKDM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam jawapannya berkata, terdapat beberapa program dan advokasi dan juga pencegahan yang dilaksanakan untuk mengurangkan masalah sosial dan membantu remaja. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -