Dianaktirikan kerajaan: SG4 mercu tanda Perikatan Nasional 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pencapaian demi pencapaian telah direkodkan di State Government 4 (SG4) sekaligus menjadi mercu tanda Perikatan Nasional (PN) meskipun sering dianaktirikan oleh kerajaan.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, pencapaian SG4 ini adalah bukti yang tidak boleh dinafikan.

“Kewibawaan dan integriti pemimpin PN adalah kenyataan yang tidak boleh disangkal lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Menurut beliau, kemenangan PN di Sungai Bakap bukanlah tentang kemenangan PN semata tetapi merupakan kemenangan rakyat yang serik menanggung kesan kegagalan Kerajaan Perpaduan diperingkat pusat serta negeri.

“Tidak perlu dihurai panjang kerana saya yakin rakyat mampu menyebut setiap satu kegagalan dan kekecewaan mereka sepanjang 18 bulan Kerajaan Perpaduan memimpin.

“Daripada episod kerjasama PH-BN sehingga ke penyasaran subsidi diesel yang membebankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zurk, secara realitinya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat termasuk oleh penyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) sendiri sebagai isyarat penolakan kepada Kerajaan Perpaduan sehinggakan sogokan pun tidak mampu membeli undi mereka.

Zurk Ahmad

Selain itu, kehadiran Menteri Besar Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis serta Majlis Tertinggi PN yang lain di Sungai Bakap kelmarin, tidak hanya membawa sokongan moral kepada jentera tetapi turut membuka mata rakyat akan kredibiliti PN dalam mentadbir.

Justeru, kemenangan PN dengan peningkatan majoriti hampir tiga kali ganda adalah tanda keyakinan rakyat terhadap kemampuan perjuangan PN dalam membawa politik bersih dan stabil.

“Bak kata Ahli Parlimen Bachok, saudara Mohd Syahir Sulaiman, Sungai Bakap (Perikatan Nasional) sudah capai kemenangan, selepas ini Nenggiri. Putrajaya akan datang, insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Negeri Terengganu pada 3 Oktober 2023 berkata, gabungan SG4 ini merupakan sebuah kerjasama rasmi secara strategik dan berfokus, yang tidak mengikat, antara kerajaan-kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Apa yang dirangkakan menerusi SG4, ujar beliau adalah untuk memberi nilai tambah, elemen baharu yang boleh diusahakan, melihat sisi pandangan yang berbagai, dengan matlamat untuk membantu sesama negeri yang ada dalam senarai SG4. 

“Kerjasama strategik ini adalah bermatlamatkan, untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan negeri-negeri anggota SG4 – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dengan pertama, pentadbiran yang berkesan (effective governance); kedua, kewangan yang kukuh (robust finances), ketiga, sosioekonomi yang mampan (sustainable socio-economic growth); dan keempat, pembangunan yang lestari (viable development) menerusi pengkongsian intelektual dan pelbagai sumber secara optimum antara negeri-negeri, termasuklah di syarikat berkait kerajaan dan badan berkanun di negeri–negeri terbabit,” katanya.– HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -