ASEAN: Apa hala tuju negara perkukuh keterjaminan makanan?

Dr. Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) meminta kerajaan menyatakan hala tuju negara sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang akan datang bagi memperkukuhkan kerjasama dalam aspek keterjaminan makanan dan agro makanan.

Beliau berkata, kerajaan juga diminta menyatakan hasil daripada ASEAN Leaders Declaration on Strengthening Food Security and Nutrition In Response to Crises 2023 terhadap sektor pertanian dan keterjaminan makanan

- Advertisement -

“Dan sejauh manakah Malaysia memperoleh manfaat daripada deklarasi tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, pelbagai tajuk dibincangkan dalam ASEAN yang mana bukan sahaja tajuk memgenai ekonomi, tetapi tajuk pertanian juga sebagai salah satu daripada tajuk yang akan dibincangkan.

Menurutnya, khusus perbincangan tersebut memang tidak lekang disebut dalam ASEAN berkenaan dengan kebolehsaingan negara berkenaan dengan keterjaminan makanan.

“Kita melihat kesalinghubungan, kita melihatnya. Kita nak adakan perhubungan kerana tidak semua negara mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan makanan secukupnya.

“Tetapi ada negara dalam ASEAN mempunyai kapasiti yang boleh mengeluarkan makanan yang boleh menjamin keterjaminan makanan untuk Rantau Asia Tenggara.

“Ini yang kita nak buat, ini yang nak kita sedang lakukan agar kita bersama-sama sebagai satu blok negara yang kebolehbergantungan di antara satu sama lain.

“Terutamanya sekarang kita bercakap tentang tenaga. Kita akan ada ASEAN (Power) Grid di mana ada negara yang boleh mengeluarkan banyak tenaga yang melebihi keperluan masing-masing.

“Boleh mereka eksport ataupun boleh mereka jual kepada negara yang kurang kemampuan untuk mengeluarkan tenaganya sendiri. Ini kita lakukan dan termasuk jugalah tentang keterjaminan makanan,” kata beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan persediaan kerajaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan apakah perkara-perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -