Apa jaminan Kumpulan Wang Amanah tidak disalah guna?

- Advertisement -

AYER KEROH: Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Negeri Melaka dibimbangi akan membuka ruang kepada penyalahgunaan dana.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ini kerana wang yang diterima bukan hanya dari pihak kerajaan, tetapi juga boleh diterima dari pihak luar.

“Wang yang diterima bukan hanya dari pihak Kerajaan Persekutuan atau KPKT, tapi juga dari pihak lain seperti NGO, korporat dan individu.

“Apa jaminan kerajaan bahawa yang diterima adalah wang dari sumber bersih untuk tujuan yang jelas?” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sebagai mengulas penubuhan kumpulan wang itu yang baru diluluskan dalam Persidangan Kedua Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-15 hari ini.

“Apakah ini satu bentuk cara dana politik disalurkan untuk kegiatan parti kerajaan memandangkan duit tersebut akan disalurkan kepada kelompok JPKK (Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung) dan seangkatan dengannya adalah lantikan politik dari parti kerajaan?

“Apakah penggunaan duit ini akan melibatkan semua kelompok masyarakat bukan hanya kroni tertentu?” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka.

Tegasnya, biarpun tujuan penubuhan kumpulan wang itu baik, ia sepatutnya dibentangkan di dalam Pembentangan Bajet Tahunan agar segala jumlah diperuntukan, senarai aktiviti akan dilakukan, senarai penerima akan mendapat manfaat, diperinci agar semua rakyat faham dan jelas.

Usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Negeri Melaka diluluskan dalam DUN Melaka selaras dengan Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Usul telah dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang kemudian dibahaskan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mewakili Kerajaan Negeri dan Dr. Yadzil dari blok pembangkang.

Pada akhir undian, usul itu menerima sokongan majoriti 21 undi, manakala dua lagi berkecuali dan lima ADUN tidak hadir. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -