ADUN lawat keluarga mangsa keropok beracun

- Advertisement -

PADANG SERAI: Keluarga dua beradik yang kritikal berikutan memakan keropok dipercayai bercampur racun tikus telah diziarahi ADUN Merbau Pulas yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, semalam.

- Advertisement -

Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih kritikal dan dirawat di Unit Kawalan Rapi Kanak-Kanak, Hospital Besar Pulau Pinang.

Menurut nenek kedua-dua mangsa, Saadiah Yaacob, beliau tidak menyangka keterujaan cucu-cucu pulang dari kebun membawa bungkusan makanan ringan itu berakhir dengan tragedi.

“Saya lihat ada ambulans masuk ke kawasan rumah saya dan kemudian jiran saya beritahu saya, cucu-cucu saya dibawa ke klinik kerana mulut berbuih, muntah dan menggelupur sakit,” jelasnya.

Beliau difahamkan kebetulan ketika itu beredar ke kebun sebaik sahaja cucu-cucunya membawa keropok beracun itu pulang ke rumah.

Pada kejadian dua hari lalu, dua kanak-kanak malang yang tinggal di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, dikatakan mengambil makanan ringan berkenaan yang disangkut pada dawai besi sekeliling pagar kebun kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.

Keropok itu dipercayai telah dicampur dengan racun tikus dan dikatakan dijadikan umpan memerangkap monyet yang sering merosakkan kebun terbabit.

Ashah pada kunjungan itu mengharapkan seisi keluarga bersabar dan banyakkan berdoa agar kedua kanak-kanak tersebut segera pulih dan sembuh seperti sediakala.

Bagaimanapun Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhirnya hari ini. – HARAKAHDAILY 10/7/2024

- Advertisement -