Tingkatkan usaha memulihara hutan

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan jumlah insentif kewangan bagi konservasi, biodiversiti dan hutan melalui dasar ecological fiscal transfer (EFT) yang diagihkan mengikut negeri di Malaysia dari 2013 hingga 2023.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) turut meminta perancangan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak inisiatif sokongan kepada kerajaan negeri bagi meningkatkan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

“Saya juga ingin penjelasan berkenaan Pemusnahan Hutan dan Degradasi (REDD) Plus dan apakah mekanisme agihan ini adakah memberi keluasan kepada hutan?

“Sementara itu, saya mohon perincian mengenai penerbitan sukuk sehingga RM1 bilion yang telah diumumkan pada Belanjawan lalu.

“Bagaimanakah negeri khususnya Terengganu kerana kawasan berhutan lebih daripada lima peratus boleh memberi manfaat kepada sukuk,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata isu mekanisme REDD Plus bergantung kepada penyertaan negeri ataupun projek di bawah rangka ini dan bukannya berdasarkan keluasan hutan sesebuah negeri.

Katanya, pihak negeri boleh berhubung bersama Malaysia Forest Fund (MFF) untuk turun serta masuk ke dalam rangka REDD Plus dan boleh memperoleh manfaat daripada kewangan yang dijana menerusi kerangka ini.

“Sementara itu, kita masih memperhalusi tentang sukuk biodiversiti kerana ada beberapa kekangan daripada kerangka perbelanjaan sedia ada untuk kita merealisasikan perkara tersebut di pihak kementerian.

“Kita sememangnya mahu mengoperasikan kerana kita tahu jumlah yang diperlukan untuk memelihara hutan ini adalah satu jumlah yang besar terutamanya bagi negeri-negeri yang masih lagi memerlukan pembangunan ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -