Tingkatan 6: Timbalan menteri alu-alukan cadangan Hasnizan

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan perancangan Kementerian Pendidikan untuk mendirikan lebih banyak kolej Tingkatan Enam bagi mod satu di seluruh negara.

- Advertisement -

Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, perancangan itu bagi menarik minat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pusat Tingkatan Enam terdiri daripada tiga mod iaitu satu, dua dan tiga. Persoalan saya sama seperti Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) tadi iaitu mod satu.

“Mod satu sekurang-kurangnya mempunyai 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru yang khusus untuk Tingkatan Enam,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan (KPM), Wong Kah Woh, berkata kementeriannya berusaha untuk menarik minat pelajar-pelajar dan menaikkan semangat guru-guru melalui Pelan Pembangunan Tingkatan Enam bagi 2024 dan 2030.

“Kita mempunyai inisiatif antaranya ialah mengkaji semula penetapan kadar Bantuan Geran Perkapita (PCG) pelajaran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lebih tinggi.

“Seterusnya, kita juga dalam cadangan dan kajian untuk pemberian elaun sara hidup murid kepada anak-anak kita dan pemberian elaun guru penolong kanan Tingkatan Enam.

“Namun demikian kesemua cadangan ini masih dalam peringkat permulaan kerana pelan ini baru sahaja kami putuskan pada Mei lalu dan kami akan teruskan untuk memastikan Tingkatan Enam ini menjadi pilihan utama oleh anak-anak,” katanya.

Justeru, kementeriannya akan terus melaksanakan pemantauan di mana perlunya adanya kolej Tingkatan Enam mod satu hendak didirikan atau boleh menggunapakai bangunan-bangunan lain yang tidak digunakan oleh sekolah-sekolah.

“Pihak kementerian akan meneliti dari semasa ke semasa tentang isu ini dan sekiranya Yang Berhormat Hulu Selangor ada apa-apa cadangan adalah dialu-alukan untuk sampaikan kepada pihak KPM,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -