Sungai Bakap titik penting perubahan politik negara

Kebangkitan rakyat tolak amalan politik Pakatan Harapan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan PRK DUN Sungai Bakap dilihat menjadi titik penting kepada perubahan politik negara daripada kebangkitan rakyat yang hebat memandangkan signifikannya mewakili demografi penduduk Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menjelaskan, ini kerana dari segi komposisi kaum di Sungai Bakap terdapat sekitar 60 peratus orang Melayu dan selebih 40 peratus terdiri daripada orang Cina dan juga India.

- Advertisement -



“Terutama ketika menghadapi PRK ini Perikatan Nasional (PN) terpaksa menghadapi jentera daripada aset-aset kerajaan yang digunakan oleh Pakatan Harapan (PH). Walaupun dulunya mereka begitu jijik, begitu benci (perbuatan itu).

“(Mereka berasa) begitu hina Kerajaan Barisan Nasional menggunakan aset-aset kerajaan untuk menghadapi pembangkang ketika mereka menjadi pembangkang. Tapi apabila jadi kerajaan, mereka juga menggunakan perkara yang sama.

“(Mereka) ulang perkara sama, yang mereka hina dahulu. Sekarang mereka menjilat balik apa yang mereka ungkapkan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Jelas Ustaz Idris, para pengundi di Sungai Bakap ternyata mempunyai pengetahuan dan kesedaran terhadap tanggungjawab mereka selaku warganegara dengan membuat keputusan bijak pada pilihan raya kecil itu.

Walaupun terangnya, penduduk berdepan pelbagai projek, sogokan dan janji-janji serta rancangan pembangunan, tetapi semuanya ternyata tidak memberi kesan atau pengundi terpengaruh dengan semua itu.

Tambah beliau, Sungai Bakap sebagai titik perubahan politik negara daripada kebangkitan rakyat itu turut diterjemahkan dari realiti politik masa kini yang tidak menyamai era 70-an, 80-an atau 90-an dahulu.

“Politik pada hari ini politik yang berdasarkan kepada hujah, fakta, data yang menyebabkan pengundi-pengundi bijak untuk memilih siapakah calon atau wakil yang mereka hendaki.

“PRK ni juga adalah satu daripada kebangkitan rakyat apabila tindakan yang cuba digunakan oleh DAP terutamanya menyebut tentang ‘gelombang hijau’, cuba untuk menakut-nakutkan pengundi-pengundi bukan-Melayu.

“Tetapi terutama di kalangan pengundi Cina sedar semuanya itu tak betul. Sebaliknya mereka memberi isyarat bahawasanya mereka ialah rakyat yang tak boleh untuk diperkotak-katikkan,” ujarnya.

Akui beliau, rakyat bangkit menolak para pemimpin Pakatan Harapan sedemikian yang turut bertindak secara ‘cakap tak serupa bikin’ dan momentum ini dilihatnya berterusan sejak PRU15 dan PRN15 lalu. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -