Sg Bakap: Tengok faktor penolak PH-BN, penarik PN

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim membuat perbandingan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dengan faktor gajah masuk kampung.

- Advertisement -

Menurutnya, gajah masuk kampung secara umumnya kerana dua faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.

Katanya, faktor penolak berlaku kerana tangan-tangan manusia yang musnahkan hutan tempat habitat kehidupan gajah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu menambah, akhirnya gajah terpaksa keluar daripada habitat asal.

“Ini dinamakan faktor penolak (pushing factor),” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Dalam masa yang sama, ujarnya kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah keluar bagi mendapatkan sumber makanan mudah dari kebun dan ladang.

Katanya, teori pushing factor dan pulling factor juga berlaku dalam politik sebagaimana yang baharu terjadi pada PRK DUN Sungai Bakap.

“Ada pushing factor di pihak PH-BN dan ada pulling factor sebelah PN. Kena tengok kedua-dua,” ujarnya.

Pada PRK DUN Sungai Bakap, Sabtu lalu, calon PN, Abidin Ismail memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -