Sg Bakap: Isyarat rakyat tolak parti guna jentera kerajaan

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat di DUN Sungai Bakap telah memberi isyarat kepada semua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan agar sentiasa mengamalkan prinsip integriti dalam menjalankan kempen pilihan raya.

- Advertisement -

Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) berkata, terdapat amalan penggunaan jentera kerajaan dan pengumuman dan janji-janji peruntukan yang dijanjikan parti kerajaan pada pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

“Adakah kerajaan melihat normalisasi budaya pilihan raya sebagai sebahagian daripada permulaan reformasi tatakeloka Madani seperti yang berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap?

“Rakyat sudah memberi satu signal bukan kepada kami saja, (tetapi) kepada semua eksekutif dalam kerajaan ini supaya kita membuat perubahan dalam pentadbiran,” ujarnya sewaktu mengajukan soalan tambahan pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, perkara tersebut berlaku di PRK Sungai Bakap dan Kuala Kubu Baharu sebelum ini sedangkan Perdana Menteri sendiri seorang yang lantang menentangnya ketika menjadi pembangkang.

“Contohnya pengumuman Timbalan Perdana Menteri berkaitan dengan dua projek bakal dilaksanakan jika PH menang PRK Sungai Bakap, penubuhan pusat aktiviti warga emas dan pembinaan Sekolah Tamil SJKT. Apakah ini yang kita nak jalankan bila kita nak memerangi rasuah?” soalnya.

Sementara itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya berkata Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebaik tiba hari penamaan calon, menteri, penjawat awam ataupun mana-mana agensi tidak dibenarkan sama sekali menggunakan jentera kerajaan dalam kempen.

“Itu keputusan yang saya dah buat yang yang diumum. Kalau sebelumnya soal lain. Saya pun pergi Sungai Bakap tahun lalu itu, sebelum pilihan raya, saya dah umum RM9 juta untuk Masjid Sungai Bakap. RM6 juta oleh kerajaan negeri dan RM2 juta yang diikuti oleh orang ramai. Tapi itu jauh sebelumnya.

“Tapi pandangan Yang Berhormat Pendang saya setuju bahawa sebaik sahaja penamaan calon tidak boleh digunakan ni.

“Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil apa-apa tindakan yang wajar dan tidak berdolak lain dua-dua TPM ada sebelah saya,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya perkara tersebut yang melanggar keputusan jemaah menteri itu benar-benar berlaku, tindakan disiplin akan diambil kepada mereka yang melakukannya sekiranya ada bukti.

Dalam soalan asal, Awang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah fokus kerajaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -