Rizab air bawah tanah perlu diberi perhatian serius

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu kajian perlu dibuat bagi rizab air bawah tanah yang sangat minimum berbanding beberapa buah negara maju yang lain di mana menjadi keperluan mendesak supaya dimanfaatkan. 

- Advertisement -

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, Malaysia baharu saja menggunakan 3 peratus daripada rizab air bawah tanah tersebut berbanding dengan negara Jepun yang menggunakan 20.1 peratus untuk domestik, 27.3 peratus untuk tujuan perindustrian dan 5.4 peratus untuk penggunaan bagi sektor pertanian.

“Laporan audit ini sangat membantu supaya kerajaan beri perhatian serius kepada isu ini. Ada waktu musim banjir, kita ada lebihan air. Waktu kemarau kita dalam keadaan yang tak cukup air,” ujar beliau merujuk kepada laporan audit berkenaan dengan kajian terhadap simpanan ataupun empangan air bawah tanah di bawah inisiatif 17 pelan kelestarian alam sekitar 2020-2030 Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) negara.

Tuan Ibrahim yang juga merupakan mantan Menteri Alam Sekitar dan Air mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Selain itu, menurut beliau, kerajaan digesa bertindak berdasarkan laporan audit yang menunjukkan ternakan khinzir merupakan punca pencemaran pepejal terampai sebanyak 476.64 tan supaya dapat diatasi.

“Dan ia merupakan punca pencemaran yang paling besar berbanding dengan sistem kumbahan industri berasaskan pertanian dan industri pembuatan,” ujar beliau ketika menumpukan isu sumber air bersih.

Selain itu juga, kerajaan digesa untuk bertindak terhadap berlakunya penyalahgunaan dana, bayaran tidak teratur serta pengurusan yang tidak baik dalam Majlis Profesor Negara (MPN) berdasarkan laporan audit tersebut.

“Di mana penyalahgunaan dana dan bayaran tidak teratur berjumlah RM1.29 juta meliputi penyalahgunaan dana MPN sebanyak RM370,516 kepada dua syarikat yang mana Ahli Lembaga Pemegang Amanah mempunyai konflik kepentingan terhadap syarikat tersebut.

“Yang kedua, pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM270,000 tanpa kelulusan menteri.

“Yang ketiga, pembayaran berjumlah RM610,000 tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah dan pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076  tanpa dokumen sokongan.

“Saya mohon supaya apa-apa dibangkitkan itu dapat dijelaskan kepada dewan yang mulia tentang apakah tindakan yang telah pun diambil berhubung dengan laporan Ketua Audit Negara tersebut,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -