PN turut terima undi ahli Umno, kaum Cina dan India

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan satu perubahan politik apabila Perikatan Nasional (PN) turut menerima jumlah undi yang besar daripada ahli-ahli akar umbi Umno, selain juga pengundi kaum Cina dan India.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad selaku Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Sungai Bakap memberitahu, daripada 14,489 undi diperolehi calon PN, Abidin Ismail, sekitar 11,000 adalah merupakan undi putih.

- Advertisement -



“Maka sudah tentulah ianya (lebih 3,000 undi) datang daripada akar umbi Umno yang menghantar satu signal. Mereka (ahli-ahli akar umbi Umno) tidak boleh menerima untuk normalisasi Umno bersama-sama dengan DAP.

“Walaupun Presiden dia (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) terutamanya yang mempertahankan apa yang dilakukan, digunakan apa saja yang ada kepada beliau sebagai presiden untuk menghalalkan kerjasama dengan DAP-Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin dan percaya mungkin akan berlaku lonjakkan-lonjakkan lagi kemarahan daripada akar umbi Umno untuk menolak Umno dan untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional selagi di atasan itu mereka,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berpandangan, ahli-ahli akar umbi Umno mungkin akan mencari wadah perjuangan yang lain daripada Umno atas sifat dan keikhlasan mereka hanya mahu berjuang untuk kepentingan ABATA iaitu agama, bangsa dan tanah air.

Manakala pengundi bukan-Melayu terutama kaum Cina katanya, berdasarkan data dilihat memberi undi kepada PN di mana perubahan itu dipercayai kerana sifat jati diri dan moral tinggi masyarakat kaum Tionghua itu sendiri.

“Mereka tidak boleh menerima pemimpin yang bercakap tak serupa bikin. Kerana dulu mereka juga termakan dengan hujah-hujah yang dibawa oleh Pakatan Harapan, yang dibawa oleh DAP.

“(PH-DAP) kononnya apabila hapus GST, harga barang turun, harga minyak turun, ekonomi akan berkembang dengan baik. Tapi apa berlakunya mereka melihat sebaliknya. Mereka tidak boleh menerima pemimpin ataupun parti yang seperti begini.

“Mereka tidak boleh menerima, mereka anggapkan hendak supaya satu perubahan lebih baik apabila Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh Pakatan Harapan. Tapi apa yang berlaku adalah lebih teruk daripada yang sebelumnya,” bidas beliau.

Menurut Ustaz Idris, lawatan beliau ke semua Unit Daerah Mengundi (UDM) menyaksikan sendiri isyarat positif masyarakat kaum bukan-Melayu kepada Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -