PH-BN bila kalah saling bertembung sesama sendiri

Pengundi walaupun di luar bandar tetapi celik maklumat, cakna isu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasca-PRK DUN Sungai Bakap di mana gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kalah dengan majoriti lebih teruk kepada Perikatan Nasional (PN) menyaksikan hakikat sebenar ‘perpaduan’ dilaungkan mereka.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman tidak menolak nada muhasabah DAP yang berbeza dari nada serangan berterusan Umno, PKR dan PAN kepada PN boleh menjurus kepada pertembungan dalaman komponen PH-BN.

- Advertisement -



“Kita dapat lihat sikap sebenar mereka, masing-masing nak jadi ‘Abang Besar’. Masing-masing nak ambil kredit bila menang. Tapi apabila kalah masing-masing nak blamed each other (menyalahkan sesama sendiri).

“Nak salahkan orang lain tidak salahkan diri sendiri,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dalam mengulas perkembangan tersebut selepas calon PN, Abidin Ismail diumumkan menang di kerusi N.20 DUN Sungai Bakap, malam Sabtu lalu.

Menurut, wujud cakap-cakap mengatakan dalam kalangan Umno di Pulau Pinang mahu melihat PKR tewas dalam pertandingan di kerusi itu supaya dapat merundingkan kerusi berkenaan bagi menghadapi PRU16 akan datang.

Jika benar perkara tersebut ujar Syahir, menjelaskan bahawa setiap parti dalam koalisi PH-BN mempunyai agenda masing-masing yang menunjukkan mereka tidak sekata dan sepakat sebelum pilihan raya lagi dan apabila kalah terzahirlah segalanya.

Kupas beliau, pertembungan agenda dan motif masing-masing khususnya antara Umno, PKR dan DAP juga dapat dilihat daripada komitmen DAP yang tidak sebagaimana ketika bertanding di PRK DUN Kuala Kubu Baharu, baru-baru ini.

Jelasnya, kerusi tersebut bukan sahaja kerana DAP bertanding, malah walaupun terdapat jumlah pengundi kaum Cina yang besar, tetapi parti tersebut tetap menggembleng sepenuhnya kekuatan mereka turun berkempen.

“Berbeza dengan Sungai Bakal ini, DAP walaupun ini negeri mereka, negeri Pulau Pinang itu di bawah pentadbiran Ketua Menteri daripada DAP, tetapi tidak nampak kesungguhan (berkempen). Di pihak DAP tidak ada kesungguhan.

“Tak nampak mereka kerahkan, angkut pengundi-pengundi Cina pada hari pengundian. Jadi ini jelaslah menjurus ke arah pertembungan dalaman PH-BN yang akan menjejaskan yang dikatakan kononnya ‘perpaduan’ mereka,” ujarnya.

Setiausaha Politik Presiden PAS itu turut menyifatkan pengundi DUN Sungai Bakap sebagai celik maklumat dan cakna dengan isu semasa sungguhpun secara geografi terdapat kawasan separa bandar dan luar bandar.

Terang beliau, ia berikutan isu-isu nasional khususnya seperti subsidi diesel dan BlackRock diketahui dan terkesan dalam kalangan penduduk yang rata-ratanya juga adalah pengundi setempat.

“Menunjukkan bahawa apa yang berlaku di peringkat nasional khususnya berkenaan dengan subsidi, sangat memberi kesan kepada kos sara hidup kerana orang kampung ni hari-hari membeli, hari-hari menjual.

“Maka setiap kenaikan kos, setiap kenaikan harga barang dan perkhidmatan ni amat dirasai dan sedikit sebanyak menyumbang kepada sikap dan pendirian dan pilihan pengundi walaupun dalam pilihan raya kecil.

“Jadi ini satu pengajaranlah kepada mana-mana pihak terutama di pihak kerajaan supaya tidak memandang ringan apatah lagi memperlekeh dan membahlulkan pihak-pihak yang mengkritik.

“Kerana bukan semuanya pembangkang yang mengkritik, tetapi kerajaan sekarang ni berdepan dengan rakyat yang mengkritik daripada dalam secara senyap,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -