Pezeshkian sahkan komitmen kembangkan kerjasama Iran-Iraq

Mohammed Shia' Al Sudani (kanan) mengadakan perbincangan dengan Masoud Pazeshkian mengenai perkembangan hubungan dua hala Iraq dan Iran.
- Advertisement -

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al-Sudani telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran yang baru dipilih, Masoud Pazeshkian pada Isnin, memfokuskan kepada hubungan dua hala antara dua negara jiran.

Pejabat Al-Sudani dalam kenyataannya berkata, perbincangan melalui telefon antara kedua-dua pemimpin, Perdana Menteri Iraq mengucapkan tahniah kepada Presiden Pazehshkian susulan kemenangan dalam pilihan raya. 

- Advertisement -

Beliau juga memuji Republik Islam Iran kerana berjaya menjalankan pilihan raya dalam tempoh yang singkat, terutamanya selepas fasa kritikal yang dialami Iran berikutan nahas pesawat tragis yang meragut nyawa Presiden Iran terdahulu, Alahyarham Ebrahim Raisi, dan  Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian, lapor agensi berita, Shafaq.

Tambah kenyataan itu, perbincangan mengenai hubungan dua hala kedua-dua Iran dan Iraq, dengan penekanan untuk meneruskan usaha kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi dan keselamatan bagi meningkatkan kepentingan kedua-dua negara dan mempromosikan kemakmuran rakyat mereka.

Sehubungan itu, Al-Sudani menyampaikan jemputan rasmi kepada Pazehshkian untuk melawat Iraq, bertujuan bagi mengukuhkan hubungan dan membincangkan beberapa isu penting.

Pazehshkian dalam responsnya menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Al-Sudani, menegaskan komitmen Iran untuk mengembangkan kerjasama dan menyokong persefahaman dua hala dalam pelbagai bidang, sekali gus menyumbang kepada kestabilan kedua-dua negara dan rantau ini. – Agensi/– HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -