KUALA LUMPUR: “Marah benar Presiden Umno terhadap Presiden PAS seolah-olah PAS yang kuburkan Umno.
“Hidup selama lebih 60 tahun dalam keadaan mempunyai wang, berharta, berjawatan dan berpangkat akhirnya dilihat dungu oleh rakyat. Apakah kejayaan beliau di mata kalian khususnya ahli Umno sekalian?”
Itu penegasan, persoalan dan kenyataan balas PAS Johor Bahru mengulas kenyataan media Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Umno membayangkan tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
“47 budak hitam membuatkan beliau lupa sejarah, saat peristiwa darurat komunis 13 Mei 1969 berlaku kalian lupa PAS selamatkan umno dengan menyokong Akta ISA. Krisis dalaman umno yang dahsyat waktu itu PAS menjadi homestay pada pemimpin umno,” ujar kenyataan PAS Johor Bahru, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sejarah mencatatkan ‘ibu’ parti DAP iaitu PAP menguburkan Umno di Singapura.
“Sekarang beliau (Zahid Hamidi) bermati-matian memuja DAP seolah-olah DAP lah yang selamatkan Umno walaupun terbaharu, Ketua Menteri DAP Pulau Pinang bersahaja menyatakan Umnolah punca kekalahan PRK Sungai Bakap,” tegas kenyataan itu.
Tambah kenyataan PAS Johor Bahru itu lagi, Umno seolah ditangas oleh DAP, pemimpin umno lain gagal pertahankan asas perjuangan parti sehingga DAP berani berkempen berbaur perkauman baru-baru ini.
“Jika persetankan sejarah kuno Umno pun jangan lupa peristiwa selepas PRU-14 siapa yang hulurkan tangan.
“PAS tidak lupa kisah Menteri Besar dan Ketua Menteri di Johor, Melaka dan Perak. PAS juga tidak lupa penarikan sokongan 12 orang ahli parlimen terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin di saat rakyat terkesan dengan wabak Covid-19.
“Kesimpulannya demi kuasa Pak Pacak jangan cuba ulangi skrip DAP dengan mencari watak baharu dalam PAS cukuplah dengan sebakul limau mandarin yang ada,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 9/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!