Momentum kempen Sungai Bakap dibawa ke Nenggiri

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan meneruskan momentum kempen seperti dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ke Nenggiri.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha tersebut akan diteruskan termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) enam Parlimen kemungkinan akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, kejayaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang merupakan satu usaha penting.

“Ia adalah langkah yang sangat baik, kita nak terus gelombang itu di Nenggiri dan PRK peringkat parlimen nanti.

“Kalau hendak banding momentum berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 nampaknya sekarang semakin meningkat,” katanya di sini semalam.

PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos depan berikutan kerusi terbabit diisytiharkan kosong selepas bekas ADUN kawasan berkenaan Mohd Azizi Abu Naim didapati melangar Akta Anti Lompat Parti.

Dr Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, petunjuk di Sungai Bakap juga menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PN meningkat berbanding sebelum ini.

Menurutnya, PRK DUN Sungai Bakap menjadi medan bagi rakyat meluahkan perasaan kecewa terhadap tindakan kerajaan Madani memansuhkan subsidi diesel sehingga kos sara hidup meningkat.

“PRK DUN Sungai Bakap menunjukkan sokongan masyarakat Cina dan India kepada PN meningkat kerana mereka kecewa terhadap kerajaan Madani,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -