Kukuhkan jalinan kerjasama global industri buluh

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama dan membina ekosistem buluh di peringkat global.

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, ia bagi merancakkan industri itu walaupun di negara ini masih pada skala kecil.

- Advertisement -

“Kalau kita lihat di Eropah sendiri di lima buah negara mereka telah berjaya membina new generation of farmers, dengan izin echologist dan landscape designers yang mereka ini menjadikan buluh sebagai asas kepada industri mereka.

“Antaranya La Bambouseraie di France; Bambu Parque di Portugal, Labirinto della Masone di Itali; Oprins Nursery, di Belgium dan Scottish Bamboo, di Scotland,” ujarnya sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, buluh turut mempunyai keistimewaan dari segi menjaga kelestarian alam sekitar.

“Sebab buluh ini merupakan highly productive renewable and eco-friendly resource di mana ia boleh mengasingkan sebanyak 158 tan per hektar karbon setahun dan boleh menyerap 60 tan karbon dioksida setahun.

“Apakah kerajaan punya niat untuk menjadikan buluh ni sebagai karbon kredit projek?” soalnya.

Beliau dalam soalan asal meminta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan sejauh manakah kemajuan yang telah dicapai oleh industri buluh negara sesuai dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya berkata bahawa industri buluh di Malaysia sangat kecil dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Isu utama dalam membangunkan industri buluh dalam negara kita ini ialah soal isu tanah. Buluh ini kalau kita nak tanam, dia mesti ada kalau kita nak mengadakan satu konsep komersial, penanaman komersial, dia memerlukan minimum tanah 2,000 hektar.

“Dipanggil pengeluaran buluh yang sustainable dan menyebabkan industri hiliran atau mainstream dan downstream akan diwujudkan secara automatik,” katanya.

Tambah beliau, penanaman buluh di negara ini masih pada skala kecil dengan 10 tahun kebelakangan ini dengan eksport komoditi itu pada tahun 2023 hanya sekitar RM20.7 juta.

“Ini isu tanah ini ialah kerana kita sukar nak dapat tanah. Kalau kita tengok dari segi industri sawit kita ada 5.7 juta hektar, kalau getah kita ada 1.1 juta hektar. Tetapi buluh ini setakat hari ini baru 4,000 hektar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -