Kukuhkan jalinan akademia, industri graduan

Sabri Azit
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan status terkini pelaksanaan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025.

- Advertisement -

Sabri Azit (PN-Jerai) berkata, terdapat 89 peratus berlaku kecenderungan penghijrahan bakal graduan yang semakin meruncing kini.

“Perkara ini dapat dilihat anggaran peningkatan permintaan pekerja berkemahiran tinggi seramai 7,200 sehingga 7,900 jurutera dalam sektor elektronik dan elektrik.

“Sedangkan penghasilan graduan di bidang berkaitan hanya dalam sekitar 6,600 orang siswazah kejuruteraan, malah negara kekurangan 600 hingga 1,300 bakat jurutera dalam sektor tersebut.

“Apakah langkah untuk mengatasi kekurangan dan langkah proaktif untuk memperkukuhkan jalinan akademia dan industri agar lebih banyak program amali dan program bimbingan seperti yang berlaku di Sweden dan Australia?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud, berkata kementeriannya mengakui akan permasalahan isu ini dan berusaha untuk mempelbagaikan beberapa inisiatif untuk mengurangkan jurang tersebut.

Mustapha berkata, kementeriannya akan bekerjasama bersama pihak industri dan antara program yang sedang dilaksanakan adalah program industri universiti.

“Kita akur bahawa kementerian perlu berusaha dengan lebih gigih apatah lagi kita sedang menarik banyak pelaburan di luar negara dan memastikan bahawa kita dapat melahirkan bakat-bakat tempatan untuk mengisi keperluan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024