Kelantan percepat proses pengeluaran unsur nadir bumi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha mempercepatkan proses mengeluarkan unsur nadir bumi (REE) bagi menjana pendapatan tambahan kepada Kelantan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui cadangan kerjasama dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia).

Kata beliau, Lynas Malaysia yang berpangkalan di Kuantan, merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam bidang tersebut.

“Kita nak galian tersebut diproses di negara kita, Lynas menjadi antara peluang yang kita ada. Kalau hendak hantar galian tersebut terus ke China keuntungan hanya sedikit.

“Jadi kita nak maksimumkan keuntungan dan manfaat REE,” katanya selepas Majlis Simposium Mineral Strategik-Unsur Nadir Bumi di sini petang semalam.

Hadir sama anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, Wan Roslan Wan Hamat, Dato’ Kamarudin Md Nor, Zamakhshari Muhamad dan Hilmi Abdullah.

Turut hadir Timbalan Presiden Lynas Malaysia, Dato’ Seri Mashal Ahmad. Simposium tersebut dianjur Institut Latihan Darul Naim dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Dr Fadzli juga berkata, rombongan kerajaan Kelantan sebelum ini diberi peluang melawat tapak lombong projek perintis REE di Kenering Gerik, Perak.

Menurutnya juga kerajaan Persekutuan meluluskan prosedur operasi standard (SOP) berkait REE untuk memastikan bahan mineral itu diekspoitasi secara lestari dan mampan.

Kata beliau juga kerajaan negeri akur terhadap keputusan kerajaan Persekutuan yang menetapkan dasar larangan mengeskport REE bagi memaksimumkan pulangan kepada negara. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -