Kelantan dicadang tarik, Islamisasikan pelabur kapitalis

Profesor Salim Timothy P. Daniels
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan kini menghadapi keperluan praktikal untuk menarik pelabur dan syarikat swasta bagi merangsang pelaksanaan penuh projek pembangunan ekonomi di negeri ini.

Namun begitu, sarjana antropologi Universiti Hofstra, New York, Profesor Salim Timothy P. Daniels berkata, kebanyakan daripada pelabur tersebut adalah kelompok kapitalis yang berusaha mewujudkan gaya hidup kapitalis di Kelantan.

- Advertisement -

Pengkaji Alam Melayu itu mengemukakan tiga pendekatan bagi mengatasi cabaran tersebut. Pertama, penerangannya tentang dimensi normatif ekonomi Islam di Kelantan bersama kapitalisme konvensional yang diselitkan dengan etika Islam.

Kedua, ujarnya keadaan struktur dan mengkaji angka ekonomi kuantitatif di Kelantan di mana penelitian dimensi transformasi terutama dengan memberi tumpuan kepada Pelan Induk Pembangunan Mampan Kerajaan Kelantan dan strategi untuk melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan prinsip UMI (ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan) di negeri ini.

Ketiga, katanya interaksi dinamik antara pelbagai pendekatan ekonomi normatif adalah relevan kepada strategi untuk memajukan ekonomi Islam generasi ketiga.

Seterusnya tokoh antropologi itu turut mencadangkan pendekatan yang paling beretika dengan mengalu-alukan pelabur asing sebagai pemangkin untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan negeri juga disyorkan agar menetapkan beberapa had undang-undang dan moral kepada mereka termasuk merancang untuk mengubah pembangunan ini kepada ekonomi Islam sepenuhnya pada masa hadapan.

“Had ini ialah nilai-nilai Islam yang merangkumi gaji dan perlakuan manusiawi untuk pekerja. Pelabur perlu bersedia berubah ke arah polisi ekonomi Islam sepenuhnya,” jelasnya dalam pembentangan kertas bertajuk Kelantan In Economic Development di pentas KelMIC ’24 hari ini.

Sementara itu, dari aspek penambahbaikan syarikat milik kerajaan (GLC), Kelantan boleh mewujudkan mod pengeluaran yang sepenuhnya Islamik berdasarkan prinsip UMI.

“Dengan keutamaan global, institusi kewangan Islam Malaysia dan peningkatan kritikan dalam kalangan pakar-pakar dan pemimpin mereka yang menyokong norma-norma kapitalis, Kerajaan Negeri Kelantan dan GLC mungkin mempunyai peluang untuk mendapatkan sokongan kewangan (daripada Kerajaan Persekutuan) bagi menjayakan projek MBI yang bertujuan menerapkan ekonomi Islam sepenuhnya.

“Ini akan membolehkan mereka (Kerajaan Negeri Kelantan dan GLC) mengambil bahagian dalam elemen kapitalis yang lebih mendalam dalam sistem ekonomi Malaysia.

“Kontrak-kontrak Islam yang beretika dan pinjaman berasaskan ekuiti daripada bank-bank Islam boleh menjadi pilihan yang layak untuk mengoperasikan kaedah-kaedah pengeluaran Islam. Contohnya, Bandar Tok Bali dengan kilang pemprosesan ikannya, Bandar Baru Tunjong dengan kilang dan industri bioplastik boleh mewujudkan UMI dan nilai-nilai Islam generasi ketiga di Kelantan,” hurainya. – UPNK

- Advertisement -