Isu lombong Kelantan: Laporan Audit berstatus ‘Selesai’

Tuduhan Ahli Parlimen Jelutong tidak berasas, disanggah Ahli Parlimen Bachok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen DAP sering kali menggunakan kesempatan ketika perbahasan semasa Persidangan Dewan Rakyat untuk membangkitkan penyataan dakwaan, sensasi dan persepsi, bahkan tuduhan dan fitnah terhadap Kelantan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memberitahu, ia sebagaimana tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer atau RSN Rayer yang melontarkan tuduhan berkaitan perlombongan emas di negeri itu.

Sedangkan ketika itu jelasnya, adalah perbahasan Rang Undang-undang Audit (Pindaan) 2024 yang menurut Aturan Mesyuarat 36(1) hanya dibenarkan membahas perkara berkaitan pindaan RUU tersebut sahaja.

Malah Rayer kata Syahir, sekali lagi bangkit ketika penggulungan Menteri pada keesokannya dan beliau mengambil kesempatan itu memberikan penjelasan bahawa tuduhan dilemparkan itu sebenarnya tidak berbangkit.

- Advertisement -

“Jabatan Audit Negara melalui email yang dihantar pada 25 Januari 2023 telah berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil oleh Akademi Yakin Sdn Bhd.

“(Iaitu) menerusi maklum balas yang telah diberikan terhadap isu Audit bagi kajian Akademi Yakin Sdn Bhd yang dipaparkan dalam Auditor General’s Dashboard (AGD), dan isu Audit berkenaan telah berstatus ‘Selesai’ (Hijau),” jelas Syahir berdasarkan pemakluman daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Malah, berkaitan tohmahan RSN Rayer kononnya operasi lombong tersebut menerima suntikan dana awam, Pejabat Menteri Besar Kelantan turut mengemukakan fakta sebenar adalah sebaliknya.

“Segala operasi perlombongan di bawah AYSB adalah melibatkan perjanjian dengan syarikat dan segala kos adalah ditanggung oleh syarikat sepenuhnya dan tidak melibatkan dana AYSB apatah lagi dana awam,” ujarnya membacakan makluman itu.

Tambah Syahir, segala operasi melibatkan perhutanan dan mineral di Kelantan adalah tertakluk kepada peraturan dan perjanjian yang dikawal selia oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, khususnya Kerajaan Persekutuan.

Pada perbahasan RUU tersebut 2 Julai minggu lalu, perbahasan melencong Rayer dengan merujuk petikan berita daripada laporan Malaysiakini itu menyebabkan ramai Ahli Dewan bangkit mempertikaikan tuduhan cuba dibuatnya.

Keadaan kecoh tersebut sehingga memaksa Speaker menyuruh Ahli Parlimen Jelutong untuk kembali kepada tajuk perbahasan. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -