Insiden Ulu Tiram: Pertingkat keselamatan IPD terpencil

Dr. Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menambah baik dari sudut keselamatan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terpencil dengan menambah bilangan anggota.

- Advertisement -

Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, ianya berikutan menyentuh berkenaan insiden yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini di mana berada di tempat yang terpencil.

Menurutnya, ini kerana sekarang kalau dilihat dalam satu-satu balai polis itu ada anggota polis yang bertugas di dalam balai, membuat rondaan dan ada juga yang berada di luar.

Seterusnya kata beliau, KDN digesa berusaha untuk menangkis ancaman bentuk baru keganasan yang wujud dalam kalangan kumpulan pengganas di dalam negara.

“Dan yang terakhir apakah status siasatan atau perkembangan kes berkaitan pemandu e-hailing OKU yang dipukul oleh pegawai pengiring orang kenamaan di lobi hotel, di Brickfields pada 28 Mei 2024 yang lalu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifudin Nasution Ismail dalam jawapannya berkata beliau menerima baik cadangan Jerlun untuk menambah baik keselamatan IPD di kawasan terpencil dengan menambah anggota kerana ianya tempat di mana rakyat meletakkan harapan.

Menurutnya, ancaman keganasan itu adalah disebabkan fahaman kafir mengkafir yang perlu dibendung kerana sangat membahayakan dalam kehidupan negara.

“Kerana itu insiden ini sudah tentu kalau ditanya apakah polis ada keupayaan untuk mengurus, tentu polis ni, 216 tahun umur dia dan dia punya pengalaman yang luas.

“Jadi berdasarkan kepada insiden seperti ini maka polis kita bangunkan profil lengkap bagaimana cara kita nak mitigate elemen-elemen seperti ini supaya dia tidak berkembang subur,” jelas beliau.

Menurutnya, kes yang berlaku kepada insiden di sebuah hotel di Kuala Lumpur berkaitan dengan pemandu e-hailing, ianya diserahkan kepada polis tanpa sebarang campur tangan apa-apa untuk menyegerakan siasatan.

“Kemudian kertas siasatan diserahkan pada Jabatan Peguam Negara, kemudian ditentukan apakah ianya punya asas untuk diteruskan pendakwaan atau diminta untuk polis kembali melengkapkan siasatan. Itu proses yang berlaku,” kata beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Sri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah langkah-langkah untuk memperketatkan keselamatan di balai-balai polis di Malaysia, ekoran daripada insiden di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -