Faktor utama perubahan kerajaan menyertai BRICS?

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendirian kerajaan menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) pada 18 Jun lepas berbeza dengan 26 Mac yang menyatakan masih tiada niat dan perancangan memerlukan penjelasan kerajaan.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, kerajaan perlu menyatakan faktor utama yang menyebabkan perubahan pendirian ini.

“Memandangkan keputusan ini adalah perkara yang besar melibatkan polisi luar negeri kerajaan Malaysia,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebenarnya pendirian tersebut tidak bercanggah dengan dasar luar kerajaan.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan sebagai negara yang bebas dan merdeka untuk menjalin hubungan dengan semua pihak.

“Tetapi kita juga lihat kenyataan ataupun realiti ekonomi sekarang di mana kekuatan ekonomi tidak lagi unipolar bergantung hanya kepada satu negara besar Amerika Syarikat tetapi telah muncul beberapa kekuatan-kekuatan baru termasuk China, India dan lain-lain,” jelas beliau.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta Perdana Menteri menyatakan dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS; dan bagaimana penyertaan ini akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara BRICS. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -