Berasa alim tapi tak cukup ilmu

- Advertisement -

SYAITAN memang suka kita berbalah, ia akan sentiasa berusaha dan lama-lama kita pun berbalah. Dalam satu hadis, Nabi duduk dengan Sayyidina Abu Bakar.

Tiba-tiba, seseorang yang entah datang dari mana memarahi dan mengata macam-macam terhadap Sayyidina Abu Bakar. Beliau hanya berdiam diri dan tidak menjawab. Nabi juga turut berdiam diri.

Lama-kelamaan, beliau yang sudah tidak dapat menahan lagi, akhirnya menjawab kata-kata tersebut. Nabi pun bangun dan terus beredar dari situ.

- Advertisement -

Beliau terkejut dan berhenti lalu mengejar Nabi. Beliau bertanya, “Ya Rasulullah, waktu orang itu kata kepada aku macam-macam engkau duduk diam tidak berkata apa-apa, tiba-tiba apabila aku menjawab…”

Nabi berkata, “Wahai Abu Bakar, aku tahu kamu betul. Waktu orang itu kata kepada kamu, kamu duduk diam, aku pun duduk diam sebab malaikat turun dan berada di sebelah kamu. Apabila kamu mula menjawab, malaikat beredar dan syaitan yang datang. Aku pun bangun.”

Inilah masalahnya apabila berbahas sebab nak menang. Apabila Sayyidina Abu Bakar duduk diam, malaikat bersamanya membelanya kerana tahu bahawa beliau adalah betul dan apa yang dikatakan itu tidak betul. Tetapi, apabila beliau mula menjawab, beliau sudah hilang pertimbangan dan datang perasaan marah. Apabila marah menguasai, akan mula naik angin.

Isu perbalahan yang kuat berlaku juga kebanyakannya berpunca daripada sesetengah yang menuntut ilmu tidak habis. Kalau seseorang itu benar-benar habis dalam menuntut ilmu atau alim, dia tidak akan berbalah.

Dia berbahas dari segi hujah sahaja. Tetapi, yang duk kalutnya ialah orang yang tidak cukup ilmu. Kata orang-orang tua, air ini kalau penuh, ia tidak akan berkocak. Kalau berkocak, pasti ia tidak penuh.

Yang membawa masalah dalam masyarakat ialah orang yang tidak cukup ilmu, tetapi berasakan dirinya alim. Umpama orang yang baru belajar silat, tapi habis satu gelanggang dicabar. Tiada tok guru silat yang mencabar orang untuk bertumbuk. Inilah masalahnya.

Nak komen pun, ‘biar kenal bare’. Sebab Islam datang membawa penyatuan dan perdamaian. Kalau perkara yang menyentuh isu akidah, kita boleh berbalah. tetapi, kalau perkara khilaf, tidak usahlah berbalah kerana tiada faedah.

Tambah-tambah lagi perkara khilaf yang telah dibincangkan oleh ulama terdahulu. Buat apa kita nak ‘tajamkan’ lagi? Apa yang kita dapat? Mengapa kita nak ‘betulkan’ kalau cara tidak betul? Apabila cara kita tidak betul, orang tidak akan menurut kita. Cara itu penting.

Hal-hal sebegini jarang kita ambil cakna. Tujuan kita boleh jadi baik, nak memperbetulkan masalah dalam masyarakat, tetapi cara kita menyebabkan orang lain lari. Contohnya, asal tidak kena sahaja, sikit-sikit dilabel bid’ah, sikit-sikit Wahabi, sudah pasti orang akan berasa kecewa. Jangan cepat kita ‘cop’ orang. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -