Baiki saliran awal, elak tanggung kos akibat bencana

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar menyegerakan peruntukan dan pembaikpulihan parit dan saliran untuk mengelakkan berlakunya banjir kilat.

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, ini kerana kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi mengeluarkan bantuan akibat bencana banjir kilat mungkin lebih besar dari kos pembaikpulihan asal.

- Advertisement -

“Yang kita tahu ni dah masuk musim hujan dan kawasan-kawasan yang mungkin tak terlibat dengan kawasan pengairan di bawah JPS (Jabatan Parit Dan Saliran) tetapi boleh diselesaikan oleh pihak kementerian dengan satu dana peruntukan kecemasan.

“Supaya kita dapat mengelak banjir kilat ini berlaku dan kemusnahannya tetap sama daripada jumlah bajet yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk bagi bantuan pemulihan dan sebagainya,” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, kerana itu adalah lebih baik peruntukan yang ada dihabiskan lebih awal untuk menyelesaikan masalah longkang tersumbat yang melibatkan antara bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga JPS itu.

Tambahnya, masalah sering berlaku di peringkat bawahan apabila sampai kepada tahap pelaksanaan di antara agensi-agensi berkenaan walaupun sebahagiannya sudah ada bersifat rentas kementerian.

“Tetapi kalau boleh diwujudkan ‘high level committee’ antara kementerian ini yang mungkin boleh menyelaraskan kawasan-kawasan hotspot,” katanya.

Dalam soalan asal, Dr. Marzuk meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan peruntukan yang diberikan kepada JPS setiap negeri bagi mengatasi masalah ketiadaan saliran dan longkang yang terancang untuk mengelakkan banjir kilat apabila berlaku hujan yang berpanjangan.

Sementara itu, Menteri PETRA, Dato’ Sri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata, sebenarnya di peringkat Kerajaan Persekutuan ada berapa majlis yang telah ditubuhkan.

“Misal kata Jawatankuasa Kabinet Untuk Bencana yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri 1 yang melibatkan agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan juga kerajaan negeri. Di sini yang kita salurkan dari segi keutamaan dan sebagainya.

“Di peringkat Persekutuan ada juga majlis seperti Majlis Fizikal Negara yang akan melihat keseluruhan pembangunan termasuk garis panduan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri 2 menambah, setiap kementerian sebenarnya ada majlis-majlis melibatkan kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.

Kata beliau, di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga ada majlis mereka sendiri yang memperincikan segala perkara itu.

“Yang lebih penting ialah bagaimana kita nak memantau dan memastikan pelaksanaan termasuk dari segi penyelenggaraan pembersihan. Dengan syarat keseluruhan peruntukan tu ada. Itu yang menjadi cabaran kita.

“Sebab keadaan sekarang ini ialah cuaca yang tidak menentu yang agak luar biasa. Kadang-kadang apa yang kita rancangkan dan peruntukan yang ada itu tidak mampu untuk menampung segala kemungkinan-kemungkinan berlaku bencana yang lebih besar lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Namun, katanya, dari segi dasar, semua perancangan itu memang dibuat di antara Persekutuan dan juga melibatkan kerajaan negeri termasuk kerajaan tempatan. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -