Apa jadi pendakwaan penyelewengan LCS TLDM?

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkembangan pendakwaan terhadap tokoh penting Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd melibatkan skandal Kapal Tempur Persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dijelaskan kerajaan.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, ia susulan daripada skandal melibatkan kelewatan penyerahan kapal tersebut kepada TLDM.

“Pada Ogos 2022 beberapa pegawai kanan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang kini diberi nama Lunas telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah kes pembinaan LCS ini.

“Hingga kini dah dua tahun berlalu kes menjadi senyap dan diperhatikan seolah-olah pendakwaan terhenti. Persoalannya apa dah jadi dengan pendakwaan tersebut? Adakah ia telah diselesaikan oleh mahkamah?” soalnya sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, projek LCS itu yang dimulakan tahun 2011, bertujuan membina enam buah kapal tempur itu untuk TLDM yang sepatutnya siap dan diserahkan antara tahun 2019 dan 2023.

Namun, menurut beliau, sehingga kini tidak ada satu pun kapal yang berjaya diserahkan sepenuhnya.

“Difahamkan antara sebab kenapa pembayaran sebanyak RM6 bilion daripada bajet siling sebanyak RM9 bilion telah dibuat oleh kerajaan walhal satu kapal pun tidak siap adalah kerana faktor terma kontrak yang kelihatan seolah sengaja direka bentuk untuk memenangkan sebelah pihak sahaja, yakni kontraktor.

“Persoalannya adakah kerajaan pentadbiran baru kini bersetuju dengan pandangan ini bahawa cara kontrak tersebut ditulis seolah-olah memberi ruang yang mudah bagi kontraktor membuat ‘claim’. walaupun dari aspek penyerahan projek masih jauh daripada kemajuan sebenar sesuai dengan jadual asal pembinaan kapal ini?” soalnya.

Tambah Amzad, berdasarkan laporan berita di media utama, Kementerian Pertahanan kelihatan begitu optimis bahawa kapal pertama yang ditempah akan mula beroperasi pada 2026.

Katanya, keyakinan tersebut kemungkinan besar berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Lunas kepada pihak kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan adakah Kementerian Pertahanan telah secara tegas mengarahkan syarikat supaya satu kajian terperinci teknikal detail technical study terlebih dahulu disiapkan sebelum kenyataan tarikh penyiapan baru dibuat.

“Di atas kertas tempoh dua tahun kelihatan secara teknikalnya mudah dicapai terutamanya aspek yang melibatkan kerja kejuruteraan marin mekanikal

“Namun berdasarkan pengalaman lalu yang biasa dihadapi oleh kebanyakan projek TLDM, cabaran paling utama dalam pembinaan kapal perang ialah aspek integrasi keseluruhan sistem combatnya yang melibatkan buatan pelbagai original equipment manufacturers, OEM, daripada pelbagai negara dan pembekal. Apakah faktor ini telah diambil kira oleh Kementerian Pertahanan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -