Ambulans KKM terbabas ke dalam parit, 2 cedera parah

- Advertisement -

TAIPING: Sebuah kenderaan ambulans Hospital Parit Buntar telah terbabas ke dalam parit dekat Plaza Tol Kamunting menghala ke Taman Berkat, Kamunting, Perak awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada jam 3.30 pagi dan mereka telah bergegas ke lokasi bersama jentera Fire Rescue Tender  (FRT) dan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS).

Menurut kenyataan itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan balik ke Parit Buntar dan terdapat empat mangsa di dalam kenderaan itu, iaitu tiga kakitangan KKM dan seorang pesakit lelaki berusia 68 tahun.

- Advertisement -
Empat mangsa kemalangan ini berjaya diselamatkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.

“Terdapat empat orang mangsa terlibat dalam kejadian itu yang menaiki ambulan tersebut. Seorang lelaki telah dikeluarkan daripada kenderaan itu dengan bantuan orang awam.

“Sementara, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan dan dua orang lelaki mengalami kecederaan parah, yang mana ketiga-tiganya telah dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Selain bomba, beliau berkata, orang awam turut membantu menyelamatkan mangsa dan semua mereka dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.20 pagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

- Advertisement -