KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) untuk memandang serius akan masalah trend peningkatan kes virus kurang imun manusia (HIV) dalam kalangan mahasiswa.
Presiden GAMIS, Imran Sulaiman, berkata pihaknya mendesak beberapa alternatif kepada kementerian tersebut untuk melaksanakan beberapa perkara bagi membendung kes ini terus berleluasa kepada mahasiswa.
“Pihak kementerian perlu menjelaskan kesan HIV dan sindrom kurang daya tahan (AIDS) dalam aspek sosial dan ekonomi ke atas mahasiswa sewaktu minggu orientasi di kampus masing-masing.
“Seterusnya, silibus di institusi yang membincangkan tentang dasar kerajaan Malaysia dalam menangani HIV dan AIDS dimasukkan dalam subjek wajib universiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Imran berkata, pihak KPT juga perlu mengadakan kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melaksanakan pelan tindakan peranan pemimpin Islam melalui Manual Islam yang telah dilancarkan pada 2009 secara serius.
Katanya, kes ini amat membimbangkan dan boleh mengancam masa depan pelajar jika tidak dicegah dari awal yang sepatutnya menjadi harapan kepada negara.
Terdahulu, menteri berkenaan, Senator Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir baru-baru ini mendedahkan bahawa berlakunya trend peningkatan kes HIV dalam kalangan mahasiswa berusia 18 hingga 25 tahun di seluruh negara.
Hal ini berlakunya peningkatan daripada 221 kes pada 2022 kepada 244 kes pada 2023.
“Peratusan pelajar institusi pengajian tinggi yang terjejas oleh kes HIV ini adalah antara 6.7 peratus hingga 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes HIV baharu yang dikenal pasti sepanjang tahun-tahun tersebut,”katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!