
NIBONG TEBAL: Tidak sampai seminggu menang Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, wakil PERIKATAN NASIONAL (PN) dari parti PAS, Abidin Ismail yang mesra dikenali sebagai Abang Abidin membuktikan kenapa majoriti warga Sungai Bakap telah memilih beliau.
Bukan sekadar ketika berkempen, namun kali ini Abang Abidin turun padang melawat warga Sungai Bakap sebagai tanda terima kasih kerana mengundi beliau pada PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang telah berlangsung pada Sabtu (6 Julai) lepas.
“Pagi tadi (semalam) saya ke Perkampungan Baru Sungai Kechil bagi menyantuni pengundi dan penduduk untuk menyatakan ucapan terima kasih kerana telah memilih PERIKATAN NASIONAL pada PRK kali ini.

“Insya-Allah. Jelajah ke lain-lain kawasan akan diadakan pada masa-masa akan datang.Terima kasih semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, semalam juga beliau telah juga menyantuni anak-anak muda yang menyertai pertandingan sepak takraw di Kampung Sungai Kechil.

“Pada masa yang sama,saya turut menyatakan ucapan terima kasih kepada mereka yang turut sama turun dan keluar mengundi pada PRK kali ini.
“Saya mendoakan agar anak-anak muda di DUN Sungai Bakap berada dalam keadaan baik dan sejahtera. Insya-Allah,” katanya.

Pada PRK Sungai Bakap Sabtu, 6 Julai lalu, Abang Abidin yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menang dengan majoriti 4,267 dengan memperoleh 14,489 undi; mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang hanya meraih 10,222 undi.
Sebelum itu, beliau ialah bekas pegawai khas kepada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei 2024, selepas mengalami komplikasi di bahagian perut dan menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Unit Kawalan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada 1 Mei.– HARAKAHDAILY 8/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!