Sungai Bakap: Menang petanda isyarat protes

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan keputusan kemenangan memihak kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abang Abidin Ismail dengan majoriti 4,267 undi.

Abang Abidin yang meraih 14,489 undi menewaskan pencabar tunggalnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata, keputusan ini jelas merupakan suatu bentuk isyarat protes, referendum dan permulaan kepada kebangkitan rakyat terhadap politik angkuh.

“Pihak Kerajaan Madani di peringkat persekutuan dan negeri bertindak seperti lembu kenyang kerana tidak mengendahkan keluhan rakyat bawahan dengan bermulanya dari siri-siri pembohongan dan pembodohan ke atas rakyat.

“Seterusnya, disusuli dengan ketidakmampuan menyelesaikan masalah asas seperti kehilangan beras tempatan dari pasaran dan perlaksanaan penyasaran subsidi diesel yang cacamarba lagi membebankan.

“Selain itu, cubaan normalisasi hubungan dengan pihak pro-Zionis melalui penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu, berkata isyarat yang diberikan oleh rakyat di DUN Sungai Bakap adalah jelas sebagai suatu penolakan terhadap budaya politik tong babi.

“Perkara ini jelas merupakan satu kesalahan yang berbentuk rasuah politik dengan mengugut dan menggertak pengundi tanpa segan silu dengan menggunakan jentera kerajaan secara bermaharajalela.

“Ditambah pula dengan sifat pongah dan angkuh melalui siri-siri penghinaan terhadap kecerdikan rakyat yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).

“Lebih mengejutkan lagi, penolakan ini dilakukan oleh rakyat di kubu kuat dan kampung halaman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama Pakatan Harapan sendiri,” katanya.

Justeru, Wan Ahmad Fayhsal mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang memastikan kemenangan di pihak Abidin bagi mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap.

“Paling penting, terima kasih, tahniah dan syabas kepada rakyat DUN Sungai Bakap atas kebijaksanaan membuat keputusan terbaik dalam pilihan raya kali ini.

“Undian anda telah melancarkan gelombang kebangkitan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -