KOTA BHARU: Rakyat Kelantan hendaklah mempertahankan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha itu bagi melahirkan sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmonis.
Kata beliau perbezaan agama dan bangsa tidak menghalang keharmonian dinikmati dalam kehidupan masyarakat majmuk di Kelantan.
“Seluruh rakyat diajak menghayati konsep persaudaraan yang diajarkan Rasulullah SAW melalui peristiwa hijrah dengan meletakkan kepentingan Islam di hadapan,” katanya pada Sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian malam semalam.
Sambutan Hijratul Rasul tahun ini mengetengahkan tema ‘Hijrah Pemangkin Penyatuan Ummah’. Perasmian nyadisempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.
Sebelum itu, baginda berkenan menyempurnakan majlis bacaan doa akhir dan awal tahun hijriah di masjid berkenaan.
Sempena program berkenaan pensyarah Universiti Malaya, Dato’ Prof Dr Mohd Yakub Zulkifli Mohd Yusoff dianugerah Tokoh Hijratul Rasul Negeri Kelantan 1446.
Beliau berasal dari Kampung Chepa, Kota Bharu menerima wang tunai RM10,000, sijil dan piala iringan.
Sementara itu, pada perutusan sempena sambutan Hijratul Rasul 1446, Menteri Besar berkata, institusi masjid merupakan asas dalam pembinaan sesebuah komuniti.
Katanya, antara strategi awal yang dilakukan Rasulullah SAW selepas berhijrah iaitu membina masjid.
“Fungsi masjid tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan ibadat dan pendidikan agama sahaja, malah masjid hendaklah dijadikan tempat perkumpulan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!