Abu Ubaidah muncul di awal Muharram 1446H

- Advertisement -

MALAM tadi TV Al-Jazeera menyiarkan video ucapan Abu Ubaidah, jurucakap Briged Al-Qassam. Ini adalah ucapan penuh beliau kali ke-28 semenjak Perang Taufan Al-Aqsa sembilan bulan lepas.

- Advertisement -

Antara isi penting ucapan beliau ialah:

Pertama: Penduduk Gaza masih terdedah kepada serangan musuh dan penghapusan etnik kerana mempertahankan tanah airnya.

Kedua: Taufan Al-Aqsa bukanlah permulaan penentangan kami kepada musuh, tetapi ia meledak untuk berdepan dengan kejahatan musuh.

Ketiga: Jenayah perang rejim Israel sampai ke kemuncak apabila kemusnahan penuh dan penghapusan etnik secara sistematik berlaku di Tebing Barat, Al-Quds dan Gaza

Keempat: Pandangan umum penduduk tempatan menunjukkan mereka tetap bersama pejuang pembebasan dan mujahidin, walaupun selepas beberapa bulan perang ini berlaku.

Kelima: Kami terus berperang di Gaza tanpa bantuan luar. Masyarakat kami terus teguh, tidak berganjak sekalipun dalam keadaan tanpa makanan, minuman dan ubat-ubatan.

Keenam: Mujahidin kami telah berperang selama sembilan bulan, bertempur hebat dengan tentera musuh yang disokong dan dibantu oleh Amerika dan Britain.

Ketujuh: Tentera musuh menggunakan orang awam sebagai perisai dalam peperangan, dan mereka mengebom rumah, hospital, sekolah, masjid, gereja dan semua jenis bangunan.

Kelapan: Melalui kekejaman rejim Zionis dalam perang ini, dunia melihat pembohongan undang-undang antarabangsa dan lemahnya undang-undang berkaitan hak asasi manusia.

Kesembilan: 24 kumpulan briged kami bersama kumpulan pejuang lain menentang musuh dan menghadapi mereka di seluruh pelosok Genting Gaza.

Kesepuluh: Tidak ada tempat di Gaza ini untuk musuh bersembunyi di dalam bangunan atau di dalam kereta kebal melainkan akan diserang.

Kesebelas: Perang di Rafah, di As-Syujaiyah dan lain-lain menunjukkan kekuatan mujahidin kami menentang musuh dan gagalnya perancangan musuh.

Kedua belas: Musuh telah menerima pukulan kuat dan akan menerima pukulan kuat dari kami setiap kali mereka menyelinap dan merempuh masuk ke dalam setiap inci bumi Gaza.

Ketiga belas: NatSarim iaitu satu kawasan yang menjadi kawasan musuh akan menjadi fokus kami untuk kami serang dan halau musuh dari kawasan itu.

Keempat belas: Kekuatan mujahidin kami lebih kuat untuk berhadapan dengan musuh. Kami ada ribuan mujahidin yang bersedia untuk terus berperang dengan musuh jika keadaan memerlukan.

Kelima belas: Melalui perang ini kami dapat melatih tentera-tentera baharu yang mendapat pengalaman baharu dalam perang seperti ini.

Keenam belas: Kami mengukuhkan kedudukan pertahanan kami menentang musuh di setiap tempat di bumi Gaza.

Ketujuh belas: Kami dapat menggunakan balik bom, senjata musuh yang tidak meletup atau yang dirampas.

Kelapan belas: Kemenangan mutlak yang disebut oleh Netanyahu sebenarnya ialah untuk kepentingan peribadinya dan untuk mendapat keredaan kerajaan pimpinannya.

Kesembilan belas: “Aku ingin menyebut kepada keluarga tawanan perang bahawa anak-anak kamu menjadi bahan mainan di tangan Netanyahu untuk mencapai cita-cita peribadinya sahaja.”

Kedua puluh: Dokumen perisikan yang mendedahkan kegagalan musuh dalam perang semenjak 7 Oktober ini hanyalah sebahagian. Kami akan mendedahkannya kemudian.

Kedua puluh satu: Penentangan yang merebak dan meluas dari penduduk di Tebing Barat terhadap rejim adalah tindakbalas dan pilihan masyarakat kami menentang penjajahan.

Kedua puluh dua: Awan mendung yang meliputi langit Tebing Barat, Al-Quds, ‘tanah dijajah 48’ akan berlalu, tak dapat tidak.

Kedua puluh tiga: Bantuan tidak langsung dari pejuang di Lubnan, Iraq dan Yaman dalam bentuk masing-masing sebagai tanda kesatuan untuk membantu membebaskan Al-Quds.

Kedua puluh empat: Kami akan terus berjuang menghentikan permusuhan dan kami tidak akan terima melainkan kezaliman dihapuskan dari masyarakat kami.

Kedua puluh lima: Hasil yang pasti dari penentangan ini ialah kemenangan kami dan kekalahan musuh dan penjajah.

Kedua puluh enam: Kami memberi jaminan kepada masyarakat kami bahawa Taufan Al-Aqsa ini tidak akan membawa hasil melainkan membawa perubahan besar dengan izin Allah.

Kita dapat lihat perang yang berlaku, mulai dari Bait Hanoun, utara Gaza hingga Rafah, selatan Gaza.

Melalui ucapan Abu Ubaidah ini, dapat dilihat hasil positif perang ini ialah kelebihan kepada tentera mujahidin. Memang kematian dan kemusnahan Gaza sangat luar biasa, tetapi dari sudut ketenteraan sebaliknya.

Briged Al-Qassam membina balik senjata, termasuk mengguna balik senjata musuh, mempunyai tentera yang lebih baik. Juga tentera baharu yang dapat dilatih melalui perang ini.

Netanyahu pernah berkata mereka akan menang perang Rafah kononnya. Ucapan Abu Ubaidah ini sebagai cabaran jelas kepada tentera rejim dan kerajaan Netanyahu terhadap pembohongan itu.

Netanyahu berkata kalau dapat tekan Hamas, lagi mudah untuk mendapat balik tawanan. Sebaliknya, Abu Ubaidah sebut tentera Al-Qassam lebih teguh, lebih kuat. Laporan menyebut berapa ramai tentera rejim yang mendapat rawatan psikologi kesan perang ini, tetapi tidak pejuang Palestin.

Ucapan Abu Ubaidah ini penting, bukan sekadar kerana ia diucapkan di awal Muharram 1446H, tetapi juga sebelum berlakunya perbincangan semula mengenai pertukaran tawanan perang dan lain-lain.

Kita di sini sentiasa mendoakan pertolongan Allah dan kemenangan buat pejuang dan umat Islam di Palestin, terutama di Semenanjung Gaza, juga kehancuran negara haram Israel. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -