Tanam semangat hijrah dalam semua aspek kehidupan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Umat Islam diseru untuk menanamkan semangat hijrah dalam semua aspek kehidupan termasuk pendidikan, ekonomi, sosial, akhlak, jasmani dan rohani.

- Advertisement -

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ia bertepatan dengan tema Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri 1446H/2024M iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’.

Beliau berkata, tema tersebut bukan sekadar slogan tetapi merupakan aspirasi yang perlu ditanamkan dalam jiwa dan amalan seharian.

“Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah adalah manifestasi sebenar konsep Al-Falah yang menggambarkan pengorbanan, ketabahan, dan keazaman yang kuat dalam mencapai matlamat suci.

“Hijrah ini telah membawa kepada pembentukan sebuah masyarakat yang berjaya dan gemilang berasaskan prinsip keadilan, persaudaraan, dan ketakwaan.

“Dalam konteks hari ini, hijrah menuntut kita berani berubah dan berinovasi, meninggalkan segala bentuk kemunduran dan kelemahan serta berusaha keras mencapai kejayaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis sambutan Maal Hijrah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Samsuri turut menyeru umat Islam untuk menjadikan sambutan ini sebagai momentum memperbaharui tekad dan semangat dalam mengejar kejayaan.

“Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha dan langkah kita dan menjadikan kita semua insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Semoga semangat hijrah yang kita bicarakan ini terus mengalir dalam setiap tindakan dan keputusan kita.

“Marilah kita sama-sama berazam untukmenjadikan tema Al-Falah pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini bukan sekadar retorik, bahkan sebagai prinsip hidup yang kita berpegang teguh.

“Semoga kita semua diberikan kekuatan dan keikhlasan untuk terus berhijrah menuju kejayaan yang hakiki, di dunia dan akhirat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -