Momentum Sungai Bakap akan bergerak ke Nenggiri

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Apakah momentum Sungai Bakap akan bergerak ke Nenggiri?” tanya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Katanya, beliau yakin kesannya pasti ada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang pada 17 Ogos nanti.

Menurutnya, trend politik Malaysia sekarang ini di mana sahaja berlaku PRK, isu nasional memainkan peranan besar dalam menentukan pilihan pengundi.

Katanya, ia bukan hanya cerita setempat walau peranan isu setempat juga besar.

Di samping itu, ujarnya politik serang peribadi sudah ketinggalan zaman.

Belaiu berkata, calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail direndahkan kerana tidak ada ijazah sementara calon PH dibanggakan kerana kononnya mengaji tinggi.

“Yang direndahkan telah membuktikan dia mampu jadi seorang pembantu setia Allahyarham Abang Zam.

“Yang diangkat memiliki ijazah bertingkat, berucap atas pentas pun macam orang baru nak belajar bercakap,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya lagi, kempen PH/BN masih tidak boleh lari daripada lagu dan irama bernada pelbagai janji projek jika rakyat Sungai Bakap memilih parti mereka.

Menurutnya, PRK Sungai Bakap tidak akan menukar kerajaan negeri apatah lagi Kerajaan Pusat.

“Kamu masih di puncak kuasa. Menang atau kalah boleh saja nak buat kalau betul nak berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Beliau menambah, rakyat Sungai Bakap ingin terus memberi peluang agar legasi Allahyarham Nor Zamri Latiff (Abang Zam) diteruskan oleh Abang Abidin dan ia suatu amanah besar untuk digalas.

Katanya lagi, keseluruhan saluran mengundi anak-anak muda PN menang bergaya.

Menurut Dr Azman, politik anak muda ialah untuk hari ini dan masa depan mereka.

Tambahnya, golongan anak muda memilih parti yang dilihat selari dengan aspirasi dan mampu membawa cita-cita mereka.

“Jangan lupa bahawa anak muda ialah pengundi yang celik minda dan menolak politik tidak beretika,” ujarnya lagi.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail yang mesra dengan panggilan Abang Abidin memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan sementara hari penamaan calon dan pengundian awal pada 3 dan 13 Ogos.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada 18 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN berkenaan kosong selepas menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan daripada parti Bersatu.

Ia susulan tindakan Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 7/7/2024