Momentum kebangkitan rakyat di Sg Bakap perlu diteruskan

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemenangan calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail dengan majoriti hampir 300 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap semalam membuktikan momentum kebangkitan rakyat.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, momentum kebangkitan rakyat itu perlu diteruskan untuk pilihan raya pada masa akan datang.

Katanya, kemenangan itu juga kerana kebersamaan masyarakat dalam semua gerak kerja.

Menurutnya, kemenangan di DUN Sungai Bakap adalah daripada rakyat untuk rakyat dan mereka telah membuktikan kebersamaan itu, semalam.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih serta tahniah pada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta timbalannya yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Saya juga merakamkana ucapan tahniah kepada calon PN Abang Abidin kerana berjaya mencipta kemenangan bergaya dan diucapkan selamat berkhidmat di Sungai Bakap,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas PN dari seluruh negara yang turun berkempen sejak awal lagi hingga PRK itu berakhir semalam.

“Terima kasih tidak terhingga semua pengundi DUN Sungai Bakap dan seluruh rakyat pelbagai kaum yang memberi undi kepada PN dengan majoriti bertambah hampir 300 peratus,” katanya lagi.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail yang mesra dengan panggilan Abang Abidin memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -