ALHAMDULILLAH, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih diberi peluang untuk menyambut Maal Hijrah pada tahun ini. Sambutan Maal Hijrah adalah satu detik penting yang mengingatkan kita tentang peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang merupakan manifestasi sebenar konsep al-falah. Ia adalah perjalanan yang menggambarkan pengorbanan, ketabahan dan keazaman yang kuat dalam mencapai matlamat yang suci.
Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi ia adalah simbolik kepada perubahan, pembaharuan, dan peningkatan dalam segala aspek kehidupan. Kita bukanlah mencari sesuatu yang sempurna dari sebuah penghijrahan tetapi kita berusaha menjadikan ia lebih baik daripada sebelumnya.
Dalam konteks sesebuah negeri atau negara, hijrah ini membawa erti yang mendalam dan mengajak kita untuk merenung serta berusaha melakukan anjakan paradigma dalam pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat sehingga membentuk sebuah masyarakat yang berjaya dan gemilang berasaskan prinsip keadilan, persaudaraan dan ketakwaan.
Meneladani sifat-sifat mulia Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hijrah Baginda yang menonjolkan pelbagai peristiwa yang boleh kita contohi. Antaranya, Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar RA menunjukkan strategi yang bijak dan perancangan yang teliti seperti bersembunyi di Gua Thur untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh, membina hubungan yang erat antara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah dan banyak lagi sejarah lain yang menarik.
Justeru, mari kita jadikan sambutan Maal Hijrah 1446H ini sebagai momentum untuk memperbaharui tekad dan semangat kita dalam mengejar kejayaan dan kegemilangan. Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha dan langkah kita dan menjadikan kita semua insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Akhir kata, semoga tahun baru Hijrah ini membawa keberkatan, keamanan, dan kejayaan kepada kita semua. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati negeri Terengganu serta seluruh rakyatnya.
Akhir kata, saya mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam.
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
DATO’ SERI DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
1 Muharam 1446H
Bersamaan 7 Julai 2024 – HARAKAHDAILY 7/7/2024