Kemenangan disambut meriah tetapi penuh tertib

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap disambut meriah oleh penyokong dan pendukung.

- Advertisement -

Sebaik sahaja selepas solat Maghrib, mereka berkumpul beramai-ramai di pekarangan Dewan Serbaguna, Jawi, untuk merasai detik bersejarah Abang Abidin diumumkan sebagai pemenang.

Walaupun sebahagian besar mereka tidak dapat menyaksikan kemenangan Abang Abidin diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam dewan berkenaan, namun rasa keterujaan jelas terpancar.

Ada dari kalangan mereka berulang-ulang kali melaungkan kalimah takbir ‘Allahuakbar!’ dan berselawat sebagai tanda syukur dan gembira atas kemenangan itu sambil menjulang bendera PN.

Para penyokong dan pendukung PN itu juga ketika kenderaan dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) masuk turut melaungkan ucapan terima kasih kepada pihak polis serta memberi tepukan.

Dalam kalangan ramai-ramai itu, ada yang dimaklumkan hadir bukan sahaja luar daerah Seberang Perai Selatan, tetapi juga dari pelbagai negeri semata-mata mahu mendengar keputusan.

Pun demikian, hasrat ramai mereka untuk bertemu Abang Abidin tercapai apabila ADUN Sungai Bakap yang baharu itu meluangkan masa bertemu dengan para penyokong tersebut sebelum ke satu mesyuarat.

Kenderaan Abidin malah diikuti ratusan anak muda dengan motosikal yang dilihat paling gembira dan puas dengan kemenangan beliau itu, namun dirai dalam ketertiban tinggi tanpa sikap-sikap keterlaluan.

Tiba kembali di Bilik Operasi PN PRK N.20 DUN Sungai Bakap, mereka sekali lagi mengambil kesempatan bergambar mesra kepada Abang Abidin dan merakamkan tahniah serta menyuarakan sokongan.

Menurut laporan Unit-unit Daerah Mengundi (UDM) kebanyakan bahan-bahan kempen juga sudah dikemas kembali dan kawasan berkaitan dibersihkan sebaik mungkin.

Abang Abidin menang pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap, dengan majoriti 4,267 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin.

Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian ADUN berkenaan Nor Zamri Latiff (PN) pada 24 Mei lalu.

Pagi ini, Abidin bersama pimpinan PN Negeri akan ke semua UDM bagi bertemu para petugas dan menyampaikan ucapan penghargaannya. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -