‘Berilah kepada rakyat apa yang perlu ketika ini’

Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil iktibar atas kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap, semalam.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, iktibar itu perlu diambil untuk kebaikan rakyat dan berilah kepada rakyat apa yang rakyat perlukan ketika ini.

“Selesaikanlah masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat ini. Jika tidak anda akan berhadapan dengan sesuatu yang lebih buruk selepas ini,” ujar beliau dalam hantaran di media sosial miliknya.

Fawwaz dalam pada itu berkata, ini sebenarnya merupakan satu signal daripada rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina dan India bahawa rakyat Malaysia pada hari ini menolak kerajaan yang gagal pimpinan PMX.

“Dan ini juga merupakan satu signal daripada rakyat bahawa rakyat tidak setuju dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini,” kata beliau.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail yang mesra dengan panggilan Abang Abidin memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -