Andalusia, WE Xpress tawar kiriman barang dengan kos lebih rendah

Ida Riswana (dua dari kanan), Norhisham Osman (dua dari kiri) serta Alif Satar (kiri) pada majlis Menandatangani MoU di antara WE Express dan Andalusia Travel di Kuala Lumpur pada hari ini, 7 Julai 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat WE Xpress Sdn. Bhd. (WE Xpress) dalam menawarkan pengiriman dengan kos yang lebih rendah sebanyak SR 20 (RM25) sekilogram.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kali ini pihak Andalusia bekerjasama bukan dari kalangan hotel atau syarikat penerbangan tetapi rakan logistik yang mempunyai objektif yang sama bagi memberi manfaat kepada para jemaah umrah.

Menurutnya, perkhidmatan WE Xpress ini bermula di hadapan pintu hotel dan pengumpulan barangan terus dari hotel-hotel Andalusia di Makkah dan Madinah ke alamat rumah.

- Advertisement -

“Penghantaran barangan jemaah dari Arab Saudi ke Malaysia dengan kos lebih rendah ini akan memberikan penjimatan yang signifikan jika berbanding dengan harga bagasi tambahan syarikat penerbangan.”

“Jemaah tidak perlu risau tentang membawa barangan berat atau banyak semasa perjalanan pulang selain mengurangkan beban fizikal dan meningkatkan keselesaan para jemaah,” katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani MoU di antara Andalusia Travel dan WE Xpress di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Ketua Pegawai Eksekutif WE Xpress, Norhisham Osman; Pengarah dan duta WE Xpress, Alif Satar; Ketua Perniagaan Antarabangsa Pos Malaysia Berhad, Elias Effendy;dan Ketua Pegawai Jualan Pos Malaysia Berhad, Charles William.

Ida Riswana

Dalam pada itu Ida Riswana menyatakan, jemaah juga dapat menjejak status penghantaran barangan mereka secara semasa bagi memberikan ketenangan fikiran mengenai keberadaan barangan mereka.

Sementara itu, Norhisyam pula menegaskan WE Xpress buat julung-julung kalinya dalam sektor logistik mengadakan penghantaran kargo ke Malaysia dari Arab Saudi.

“WE Xpress pada dasarnya merupakan sebuah syarikat logistik, yang mana pengkhususan dalam pengurusan bagasi jemaah umrah dan haji dari Makkah ke Malaysia dan Asia Tenggara.”

“Pengalaman dan pengamatan kami berlima sendiri ketika menunaikan haji, kami merasakan perkhidmatan logistik perlu lebih proaktif, lebih telus, lebih mudah, diyakini dan lebih profesional,” jelasnya.

Norhisham Osman

Tambah beliau, jenama PosLaju di bawah Pos Malaysia Berhad itu sendiri juga telah mendapat kepercayaan masyarakat, dengan caj yang terbaik dan tanpa kos-kos tersembunyi.

“Apa yang uniknya, kami mendapat kepercayaan Pos Malaysia Berhad sebagai rakan strategik adalah disebabkan oleh strategi pemasaran dan pendekatan kami yang agak berbeza dengan syarikat logistik lain.

“Kami cuba merevolusikan perkhidmatan pengurusan bagasi. Menjadikan perkhidmatan ini sebagai salah satu elemen sektor pelancongan, selain hotel, transport dan pakej pelancongan.

“Di samping itu, kerjasama WE Xpress dan Andalusia Travel dapat memberikan nilai tambah kepada Andalusia Travel terutama dalam meningkatkan lagi imejnya dan membuka segmen baru terutama dalam kalangan golongan muda, profesional dan terpelajar,” katanya.

Terdahulu, pada permulaan 1 Muharram 1446H, Andalusia Travel telah merekodkan jualan pakej umrah hampir 24,000 orang jemaah dan kumoulan pertama seramai 25 orang telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Saudia Airlines pada hari ini. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -