‘Anda berjaya tepis godaan murahan Kerajaan Madani’

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno sedang menghadapi kenyataan yang perit apabila calon PH-BN mengalami kekalahan dengan majoriti 4,267 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kepada calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, ini berikutan kerana angkara Umno mengkhianati penyatuan ummah dalam PN yang merupakan resipi kemenangan calon PN di PRK DUN Sungai Bakap.

“Walau dihimpit dengan pelbagai provokasi dan tekanan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), penyatuan (ummah) ini kekal utuh.

“Ahli Umno beri isyarat mereka memang tidak restu ‘kahwin’ senyap antara PH dan BN maka mereka beralih kepada PN. Terima kasih pengundi Umno BN!

“Terima kasih 14,489 pengundi PN di Sungai Bakap! Anda berjaya menepis godaan murahan Kerajaan Madani dan pilih pakatan yang lebih kuat bersama rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat Sungai Bakap tahu ADUN PKR dan kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang tidak menyelesaikan isu air, malah tidak mengambil tahu pun masalah yang dihadapi.

Ujarnya, rakyat mengetahui semua yang disalurkan kerajaan PH-BN kepada pengundi DUN Sungai Bakap hanya gula-gula politik kerana calon PH-BN tidak mampu mewakili rakyat Sungai Bakap.

“Rakyat marah kerajaan naikkan harga diesel, harga barang semakin mahal dan kerajaan tidak peduli kesusahan rakyat.

“Rakyat tahu orang Melayu di Pulau Pinang dan kawasan mereka sengaja ditindas kerajaan negeri DAP dan PKR.

“Rakyat kenal Abang Abidin kerana keakraban beliau dengan arwah Abang Zam (Nor Zamri Latiff) dan kerja kuat mereka bersama menjaga kebajikan di Sungai Bakap.

“Rakyat percaya PN mampu mengurus Pulau Pinang lebih baik hasil kewibawaan sedia ada daripada 11 ADUN dan 3 Ahli Parlimen PN,” kata beliau.

Pada PRK DUN Sungai Bakap semalam, calon PN, Abidin Ismail memperolehi 14,489 undi menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -