Analisis: Isu rakyat julang kemenangan PN di Sungai Bakap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu rakyat tempatan yang tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merupakan antara faktor penyumbang terpenting kepada kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL, Abidin Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)Sungai Bakap pada Sabtu.

Menurut analisis keputusan PRK Sungai Bakap oleh PAS Terengganu, ia menunjukkan bahawa perubahan dinamik politik di DUN berkenan  dengan peningkatan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu yang beralih arah. 

“Kelemahan dalam strategi dan penyelesaian isu oleh PH serta kekuatan mesin akar umbi PAS dalam PN merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan besar PN,” tegas kenyataan itu.

- Advertisement -

Kenyataan tersebut menjelaskan, masalah yang dihadapi penduduk tempatan seperti isu air yang berlarutan tanpa penyelesaian oleh kerajaan negeri PH Pulau Pinang,  mungkin telah menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi, mendorong mereka memberikan  sokongan kepada PN.

Dalam PRK DUN Sungai Bakap ini, ujar kenyataan berkenaan lagi, PN telah berjaya memenangi tujuh daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan majoriti besar sebanyak 4,267 undi, mengatasi PH. 

“Keputusan ini amat berbeza dengan jangkaan awal bahawa PH akan menguasai empat PDM. Berikut adalah analisis mendalam mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada kemenangan PN dan peralihan undi dalam kalangan bukan Melayu,” katanya.

Faktor gelombang hijau, pengundi bukan Melayu

Selain faktor tersebut, analisis berkenaan turu menyenaraikan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap.

“Peratus keluar mengundi yang agak rendah iaitu 62 peratu mungkin menunjukkan rasa tidak puas hati atau keletihan politik dalam kalangan pengundi. Ini berpotensi mempengaruhi hasil keputusan kerana sokongan yang lebih kukuh daripada penyokong tegar PN.

“Faktor gelombang hijau, yang mana terdapat swing vote dalam kalangan bukan Melayu kepada PN, yang merupakan sebahagian daripada ‘gelombang hijau’ (parti PAS).

“Ini menunjukkan peningkatan sokongan kepada PN yang mungkin berpunca daripada strategi kempen yang lebih berkesan atau kelemahan di pihak PH,” katanya.

Faktor lain menurut analisis itu termasuklah pecahan pengundi Melayu, yang  mana berdasarkan pecahan pengundi Melayu di DUN Sungai Bakap, kawasan majoriti Melayu lebih cenderung menyokong PN. 

“Ini boleh dilihat di Pusat Daerah Mengundi seperti di Padang Lalang, Sungai Kechil, dan Kampung Besar, yang mana PN memperoleh majoriti besar,” jelasnya.

Kekuatan mesin akar umbi PAS

Analisis itu juga mendapati kekuatan mesin akar umbi PAS, sebagai komponen penting dalam PN antara penyumbang utama calon PN di PRK Sungai Bakap yang merupakan ari parti ini.

“PAS mempunyai mesin akar umbi yang kuat dan berkesan dalam mobilisasi pengundi. Kekuatan ini membantu PN mendapatkan sokongan yang mantap di kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu,” tegas kenyataan itu.

Sehubungan itu, PAS Terengganu mengucapkan tahniah kepada Abidin atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Abidin atas kemenangan tersebut. 

“Keputusan ini juga memberi isyarat kepada PH untuk mengkaji semula strategi mereka dan menangani isu-isu tempatan dengan lebih berkesan bagi menarik semula sokongan pengundi,” katanya.

Terdahulu, Keputusan rasmi PRK Sungai Bakap yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira pada jam 9.30 malam tadi mengumumkan Abang Abidin yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menang majoriti 4,267 dengan memperoleh 14,489 undi; manakala calon PH, Dr Joohari Ariffin hanya meraih 10,222 undi.

Jumlah pengundi berdaftar di DUN Sungai Bakap seramai 39,279 orang termasuk 57 anggota polis. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -