SPR tak benar lambang parti di bangsal panas

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Semua bendera dan lambang parti tidak dibenarkan digantung atau diletakkan di bangsal panas sama ada di pihak PERIKATAN NASIONAL (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

Arahan berkenaan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9:30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Boon Beng, di sini.

Seorang petugas PN dari Kedah, Saiful Azli Ahmad berkata, awalnya agak sangsi dengan arahan itu berikutan lokasi bangsal panas PN terletak lebih daripada 50 meter dari lokasi pusat mengundi seperti ditetapkan.

Namun beritahunya, para petugas akur atas nasihat peguam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (LUHAM) untuk menuruti arahan tersebut.

“Awal tu kami agak sangsi kenapa lambang dan bendera perlu diturunkan kerana bangsal panas PN berada di kedudukan yang ditetapkan SPR, tetapi atas nasihat peguam LUHAM, kami akur.

“Lagipun bangsal panas PH pun menerima arahan yang sama,” jelasnya kepada Harakahdaily, ketika ditemui, di sini.

Seramai 5,939 pengundi saluran sembilan membuang undi di pusat pengundian SJK Cina, Boon Beng.

Ramai pengundi dari pelbagai kaum dilihat mengambil peluang menunaikan tanggungjawab mengundi di sebelah pagi. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -