NIBONG TEBAL: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan reaksi memberangsangkan penduduk tempatan kepada Abidin Ismail menunjukkan pemilihan calon telah dibuat dengan teliti.
Menurut beliau, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap itu telah dipilih berdasarkan kajian lapangan yang menunjukkan impak positif dalam kalangan rakyat setempat.
“Alhamdulillah, nampaknya dari kajian itu kita melihat beliau memberi impak positif di kalangan rakyat setempat,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai ketika ditemui Harakahdaily, di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa dalam PAS, calon yang terpilih biasanya enggan untuk dicalonkan, tetapi terpaksa akur kerana pilihan oleh parti diterima sebagai arahan jemaah.
“Saya nampak sambutan dalam kalangan pengundi amat baik, di kalangan anak muda dan kerjasama jentera dari PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP semua gabungan dalam PN,” tambahnya.
Idris juga menyentuh mengenai isu-isu utama yang diketengahkan dalam pilihan raya ini, termasuk kenaikan sara hidup dan harga minyak serta masalah bekalan air di mana memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Isu yang kita bawa amat membumi dalam kalangan rakyat,” kata beliau turut menyatakan bahawa janji-janji yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) semakin tidak disenangi oleh rakyat.
Kerana ujarnya, pengundi zaman sekarang semakin cerdik dan semua maklumat boleh dapat awal daripada pelbagai sumber sebaran media massa dan sosial yang bebas diakses rakyat.
Dengan kelebihan yang ada, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu optimis bahawa PN akan dapat memenangi pilihan raya kecil di Sungai Bakap kali ini.
“InsyaAllah, dengan kelebihan yang ada, PN dapat memenangi pilihan raya kecil Sungai Bakap,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!