PN menang PRK Sungai Bakap: Kemenangan rakyat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah buat calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail yang telah berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin.

Keputusan rasmi PRK Sungai Bakap yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira pada jam 9.30 malam ini mengumumkan Abidin yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal dan mesra dengan panggilan Abang Abidin menang dengan majoriti 4,267 dengan memperoleh 14,489 undi; manakala Joohari hanya meraih 10,222 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abang Abidin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Abang Abidin menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding yang diraih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri Latiff dalam Pilihan Raya Umum (PRU)DUN Pulau Pinang Ogos tahun lepas.

“Tidak syak lagi ini merupakan kemenangan rakyat. Rakyat menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga kerajaan campuran di peringkat Persekutuan bahawa rakyat tidak setuju dengan beberapa pendekatan dan polisi yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini.

“Sudah tentu isyarat yang paling jelas ialah penolakan terhadap penyasaran subsisi diesel yang membebankan begitu ramai pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, walaupun DUN Sungai Bakap berada di dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang diwakili oleh seorang menteri penuh, ternyata ia masih gagal untuk memikat pengundi memberikan undi kepada PH.

Tambahnya, isyarat juga kepada kerajaan Pulau Pinang agar lebih bertindak adil dalam isu agihan projek dan kemudahan infrastruktur.

“Ungkapan ‘maaf’ sahaja atas kegagalan menyediakan perkhidmatan air bersih tidak cukup untuk rakyat Sungai Bakap, mereka mahukan jaminan dan tindakan segera.

“Sewajarnya tiada lagi masalah memandangkan kerajaan negeri dan pusat ialah dari aliran politik yang sama,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera, khususnya Pengarah PRK Sungai Bakap merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad, yang berminggu-minggu bermukim di Sungai Bakap sebagai individu yang paling wajar dirakamkan ucapan tahniah.

“Tidak lupa (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Sanusi Mohd Nor selaku Pengarah Pilihanraya dan semua jentera yang terlibat dari seluruh negara.

“Tidak lupa juga kepada pimpinan parti-parti komponen terutama BERSATU dan GERAKAN yang tidak putus-putus menghantar jentera bantu.

“Juga kepada parti-parti sahabat yang mesra PERIKATAN NASIONAL, para penceramah yang tidak berparti, pempengaruh dan semua yang turun secara langsung atau tidak langsung, anda merupakan wira kami hari ini!

“Sungai Bakap menunjukkan bukti bahawa apabila rakyat bangkit, tiada dinding mampu menahannya!” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -